December 22, 2024

Wabak pandemik yang teruk telah memberi kesan luar biasa terhadap Malaysia, mengakibatkan negara mengambil langkah-langkah berat termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penyebaran COVID-19. Kesannya tidak terbatas kepada kesihatan masyarakat sahaja tetapi juga sektor ekonomi terutamanya industri pelancongan. Dengan pergerakan terhad dan sempadan ditutup, industri pelancongan negara mengalami penurunan drastik dalam pendapatan dan aktiviti.

Sebagai respons terhadap cabaran ini UNIMAS melalui UNIMAS Entrepreneurship Centre telah melaksanakan program inovatif yang dikenali Impact Digital Community Tourism (IDCT) bagi membantu memulihkan industri pelancongan negara, khususnya dalam aspek komuniti. Program ini bukan hanya bertujuan untuk memulihkan ekonomi yang terjejas, tetapi juga memberi tumpuan kepada kebajikan sosial masyarakat tempatan. Konsep program ini melibatkan pelajar yang dilatih dalam kemahiran pemasaran digital serta pengetahuan dalam pelancongan komuniti.

Peserta kemudiannya berkolaborasi dengan komuniti tempatan dalam membangunkan pemasaran pelancongan digital. Dengan meningkatkan visibiliti penjenamaan, kedatangan pelancong, dan hasil pendapatan, program ini dijangka akan memberikan impak positif kepada komuniti dari segi ekonomi dan sosial. Keberhasilan program diukur melalui pelbagai penunjuk prestasi, termasuk usahawan pelajar yang menjalankan perniagaan semasa pengajian mereka dan kolaborasi dengan agensi, industri, dan NGO.

Matlamat program ini adalah untuk membantu memulihkan industri pelancongan negara dengan menawarkan pakej pelancongan yang lebih kreatif dan menarik melalui platform digital. Pada masa yang sama, program ini bertujuan untuk mempromosikan keunikan destinasi dan budaya tempatan di Sabah dan Sarawak kepada pelancong luar  dan juga kepada pelajar institusi awam serta komuniti Malaysia.

Dengan penyertaan sebanyak 16 buah pasukan institusi awam, seramai 16 orang mentor yang terdiri daripada pensyarah dan 80 orang pelajar terpilih yang turut serta dalam program ini. Sokongan dana dari KPT digunakan untuk melaksanakan berbagai aktiviti program, termasuk pengenalan, bootcamp, pembangunan projek dan pemasaran, serta project showcase dan penutupan. Aktiviti yang dilakukan termasuk sesi bersama komuniti, pembangunan aktiviti pemasaran digital, promosi dan hebahan, penyediaan video story & journey, serta pengadaan project showcase di komuniti.

Program ini, yang dijalankan melalui empat fasa yang berbeza, mewakili kesungguhan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sambil memperkukuhkan kelestarian dan kebajikan sosial komuniti. Fasa pertama iaitu Pengenalan bertujuan untuk membangunkan asas yang kukuh dengan menarik penyertaan peserta dan mentor daripada 16 buah institusi awam di Borneo.

Fasa Kedua dikenali sebagai Pembelajaran Intensif dan Penilaian Komuniti melibatkan dua bootcamp yang berbeza dalam pendekatan dan tujuan. Bootcamp 1 dalam talian pada 28 & 29 Oktober 2023 memberi peluang untuk pembelajaran dalam talian yang berfokus pada aspek pemasaran digital dan pemahaman asas pelancongan komuniti. Bootcamp 2 yang dijalankan dari 24 hingga 26 November 2023, menyediakan platform untuk interaksi langsung dan pertumbuhan personal melalui aktiviti-aktiviti terarah dan pengalaman langsung di lapangan. Selain itu, penilaian komuniti dan klinik membolehkan peserta merangkumi keadaan sebenar komuniti sambil membina kepekaan sosial dan keperibadian usahawan.

Fasa ketiga iaitu fasa Pembangunan dan Pelaksanaan merupakan titik tolak untuk pembangunan projek sebenar dan rancangan pemasaran digital yang terperinci. Dari Januari hingga Mei 2024, peserta bekerja bersama-sama dengan komuniti tempatan dalam memperkenalkan projek-projek yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial. Sementara itu, implementasi dan pemantauan prestasi projek menjamin bahawa usaha peserta bergerak selari dengan sasaran program, sambil memastikan kesan positif yang berterusan.

Manakala, fasa terakhir Showcase dan Penghargaan merupakan puncak kejayaan, di mana usaha peserta dipamerkan dan diiktiraf secara rasmi. Showcase yang dijadualkan pada 9 & 10 Ogos 2024, menjadi platform untuk menghargai usaha peserta dan menyampaikan penghargaan kepada mereka yang telah memberi sumbangan besar kepada komuniti tempatan. Upacara Penutupan pada 10 Ogos 2024, menandakan penutupan program dengan penuh semangat dan harapan akan masa depan yang lebih cerah untuk pelancongan komuniti.

Melalui empat fasa yang menyeluruh, program ini mewakili komitmen yang teguh untuk mengubah cabaran menjadi peluang, dan memperkukuhkan jalinan antara pelajar, komuniti, dan awam. Diharapkan, melalui usaha kolektif ini, industri pelancongan negara akan bangkit semula dengan lebih bersemangat dan berdaya saing, sambil memberikan manfaat yang berkekalan kepada komuniti tempatan.

Disediakan oleh :Dr Auni Ugong, UNIMAS Entrepreneurship Centre, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)