December 22, 2024

Kota Samarahan,  5 Disember 2023: Human Resilience and Potential Centre (HRPC)  di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS telah memperkenalkan satu inovasi melalui sebuah konsep membina resilien individu dengan mempromosi literasi kesihatan mental dan kesejahteraan emosi melalui platform perpustakaan. Pameran Human Resilience Library diadakan bersempena Hari Terbuka dan Literasi PeTARY UNIMAS yang telah diadakan pada 5 hingga 7 Disember 2023.  Kerjasama antara Human Resilience & Potential Centre, FSKPM dengan PeTARY UNIMAS dan Kelab PERAMAH telah melakar sebuah sejarah dalam bidang profesional kaunseling dan psikologi di Sarawak.

Dekan, Profesor Madya Dr Amalia Madihie berkata, Human Resilience Library adalah satu inisiatif terkini untuk mendekati anak-anak muda dan orang dewasa dalam persekitaran yang santai, ‘unjudge’  dan selamat untuk bercakap tentang isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan mental dan emosi.” Konsep ini diperkenalkan di Denmark, iaitu human library. Konsep manusia itu menjadi ‘buku’ atau sebenarnya adalah pendengar kepada pengunjung perpustakaan tanpa meletakkan stigma dan menghukum. Amalia juga merupakan pengkaji tempatan dalam bidang resilien di Malaysia telah bekerjasama dengan Pengarah PeTARY, Puan Levas Mejus buat kali kedua tahun ini. 

Amalia mengatakan bahawa Human Resilience Library ini adalah satu jenama produk baharu dalam menyediakan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling secara profesional, dan suasana yang lebih tenang dan kondusif.  Konsep Human Resilience Library ini sangat menarik dan boleh mengurangkan tekanan apabila berjumpa dan mendapat perkhidmatan profesional.

Masyarakat kini amat memerlukan saluran yang sihat, selamat dan kondusif untuk berbicara tentang perasaan, fikiran (mental) dan kesejahteraan.  Tambahan lagi, kini semua masyarakat beradaptasi secara berperingkat-peringkat dalam pasca pandemik COVID-19.  Perpustakaan dijadikan satu ‘tempat yang selamat’ untuk berbicara tentang perasaan dan fikiran tanpa menghukum. Suasana dalam perpustakaan yang ‘tenang’ dan dikelilingi oleh buku-buku, seolah-olah mempunyai satu aura yang positif dan gedung ilmu yang mampu memberi impak yang positif dan sihat kepada pengunjung perpustakaan. 

Konsep Human Resilience Library ini diharap dapat dikekalkan dan diimplementasi di semua perpustakaan di Sarawak, khususnya dan Malaysia, amnya.   Kepelbagaian fungsi perpustakaan pasti dapat membantu setiap lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas untuk meliterasikan kesihatan mental dan kesejahteraan bersama.  Pendekatan membina resilien adalah fokus dalam konsep Human Resilience Library. “Salah satu tumpuan pengunjung samada dari dalam mahupun dari luar UNIMAS adalah Human Resilience Library sempena PeTARY Open Day di mana pengunjung dapat belajar mengenali diri dan faham tentang isu kesihatan mental,” kata Puan Levas.  Ini bermaksud individu yang dilatih untuk mendengar tanpa menghukum, dan individu yang hadir, yang memerlukan seseorang untuk berbual atau berbicara pula, akan menerima perkhidmatan bimbingan dalam persekitaran yang selamat. 

Amalia menambah, dengan adanya ilmu membina resilien, akan memberi peluang kepada individu untuk meneroka diri serta mengukuhkan kebolehan resilien mereka dalam menghadapi cabaran hidup. Pada tahun ini, Pusat telah memperkenalkan sebuah perkhidmatan kaunseling profesional iaitu Klinik Kaunseling Wasathiah.  Klinik kaunseling ini beroperasi di bawah UNIMAS Holdings Sdn. Bhd. untuk masyarakat mendapat perkhidmatan profesional selanjutnya. 

Catatan: Human Resilience and Potential Centre merupakan pusat penyelidikan di bawah  Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak.