September 9, 2025
Finalis AKRI 2025

Finalis CHEM-WISE: Dr Muhammad Abdurrahman Munir, Dr Junidah Lamaming, AP Dr Rafeah Wahi, dan Dr Nor Hisam Zamakshshari

Putrajaya, 3 September 2025 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila terpilih dan dijemput untuk sesi pitching sebagai finalis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025 dalam kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka.

Pasukan UNIMAS diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rafeah Wahi, bersama ahli kumpulan Dr. Junidah Lamaming, Dr. Muhammad Abdurrahman Munir, dan Dr. Nor Hisam Zamakshshari yang mempersembahkan inisiatif inovatif yang memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendekatan bersemuka yang kreatif, inklusif, dan berimpak tinggi. Projek bertajuk CHEM-WISE: Empowering Future Chemists Through Industry- and Community-Relevant Waste Management Design ini merupakan sebahagian daripada Kursus STK2983 – Waste Management and Toxicology di bawah Program Sarjana Muda Kimia (dengan Kepujian), Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.

CHEM-WISE dibangunkan berasaskan penjajaran konstruktif yang jelas, dengan objektif utama meningkatkan pencapaian pelajar melangkaui Course Learning Outcomes (CLO), menyediakan persekitaran pembelajaran imersif, menyahut seruan KPT melalui pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) sebagai sebahagian daripada kurikulum akademik, serta mendepani cabaran global selaras dengan kerangka Education for Sustainable Development (ESD) dan Sustainable Development Goals (SDGs).

Inisiatif ini merangkumi lima komponen utama iaitu Projek SULAM bertemakan reka bentuk pengurusan sisa komuniti, refleksi kritis, analisis kajian kes autentik, SULAM Showcase, serta pentaksiran 100% alternatif. CHEM-WISE menjadikan pelajar sebagai peneraju utama pembelajaran dan telah memberi impak besar, antaranya peningkatan ketara pencapaian CLO serta pemahaman konsep secara mendalam, peningkatan kemahiran insaniah, manfaat langsung kepada komuniti melalui program kesedaran, pameran, dan projek pengurusan sisa lestari, serta membuka peluang kolaborasi jangka panjang dengan industri dan agensi tempatan.

Bagi edisi 2025, AKRI menerima permohonan merangkumi empat kategori utama: Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif , Pengalaman Pembelajaran Imersif – Maya, Teradun, dan Bersemuka, serta Pentaksiran Alternatif. Proses penjurian AKRI 2025 memberi penekanan kepada aspek pembuktian, persembahan, kreativiti, inovasi, serta kebolehan menjawab soalan. Setiap finalis diberi masa 10 minit untuk melakukan pembentangan yang dinilai berdasarkan rasional projek, pendekatan yang dilaksanakan, tahap keterlibatan pelajar, serta impak yang dihasilkan.

Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen UNIMAS dalam memperkasa budaya inovasi pendidikan tinggi, seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk terus memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.