July 26, 2025

Ditulis oleh Noor’ain Aini 

Pada 14 Jun 2025, seramai duapuluh orang kanak-kanak sekolah rendah di Kampung Giam, Padawan, telah menyertai projek Service Learning Malaysia (SULAM) bertajuk There is “Us” in Sustainability: Daripada Kertas kepada Kertas, anjuran pelajar kursus Politik Dunia Membangun, Program Hubungan Antarabangsa, FSSK, UNIMAS. 

Projek ini bertujuan mendidik kanak-kanak tentang kepentingan mengitar semula kertas dan mengurangkan pembaziran kertas dalam penggunaan harian. Aktiviti utamanya melibatkan bengkel ‘Re-Pap’, iaitu proses menghasilkan semula kertas terpakai menjadi kertas baharu dengan reka bentuk menarik untuk digunakan sebagai nota harian atau kraftangan. Kertas terpakai direndam terlebih dahulu sehingga hancur, kemudian ditapis, dikeringkan dan akhir sekali dihias mengikut kreativiti individu. 

Demonstrasi membuat kertas 
Kertas yang dihasilkan dijemur terlebih dahulu sebelum boleh digunakan.

Menurut Ketua Program, Nurul Nazeirah bt Md Azam, objektif projek ini adalah untuk meningkatkan kesedaran generasi muda tentang amalan kelestarian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan Iklim. 

“Kami mahu kanak-kanak memahami bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar bermula dari rumah dan diri mereka sendiri. Dengan mengurangkan penggunaan kertas baharu serta menggunakan semula kertas lama, mereka turut membantu mengurangkan penebangan pokok dan pencemaran alam sekitar,” ujar beliau. 

Kertas yang sudah kering dihias mengikut kreativiti individu 
Antara hasil kertas terpakai yang kreatif 

Dalam ucapan penutupnya, Encik Samen Sanggod, Ketua Jawatankuasa Pembangunan Kampung, berharap program sebegini dapat diteruskan bagi membina sikap prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak demi melahirkan masyarakat desa yang celik kelestarian. 

Sementara itu, pensyarah kursus, Puan Noor’ain Aini, menyatakan harapan agar usaha kecil tersebut dapat membantu mencapai sasaran 40% kadar kitar semula kertas kebangsaan pada tahun ini. 

“Pada tahun 2024, sisa kertas menyumbang sekitar 17% daripada jumlah sisa yang dibuang di tapak pelupusan sampah, dan daripada jumlah tersebut hanya 37.9% yang dikitar semula. Kertas merupakan sisa yang paling mudah dikitar semula, tetapi sayangnya tahap kesedaran yang rendah menyebabkan peratusan kitar semula kertas masih kecil,” luah beliau. 

Beliau kemudian menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kertas Terpakai Paling Kreatif sambil disaksikan oleh Encik Samen dan Pengarah Projek, Irene Valeris Nasod dan Ketua Projek “RePap”, Nurul Nazeirah bt Md Azam.

SULAM Johan Pertandingan Kertas Terpakai Paling Kreatif 

Projek There is “Us” in Sustainability ini merupakan manifestasi komitmen UNIMAS dalam mendukung pendidikan berasaskan komuniti dan pemindahan ilmu ke arah pembentukan masyarakat lestari sejajar dengan slogannya Community-Driven University for a Sustainable World. 

FSSH- A Partner for Social Change