November 15, 2024

Sepanjang Ramadan yang lalu, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan program Ihya Ramadan PITAS dengan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Yayasan Maghfirah dan Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA). Selain daripada itu, majlis berbuka puasa turut dianjurkan dengan kerjasama beberapa buah fakulti, antaranya Pra-Universiti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Fakulti Kejuruteraan (FK), Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Fakulti Alam Bina (FAB), Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dan juga iftar bersama Persatuan Pengurus UNIMAS (PPU).

Bagi program iftar bersama pihak NGO iaitu bersama Yayasan Maghfirah dan MASNITA, masing-masing telah diadakan pada 20 Mac 2024 bersamaan dengan 9 Ramadan 1445H dan juga pada 26 Mac 2024 bersamaan dengan 15 Ramadan 1445H. Program bersama NGO ini dianjurkan bagi mengeratkan lagi ukhuwah antara warga PITAS, UNIMAS dengan pihak luar. Secara khususnya, inisiatif penganjuran iftar bersama Yayasan Maghfirah adalah untuk menyampaikan pek makanan berbuka puasa kepada pelajar UNIMAS. Melalui program ini, sebanyak 100 pek makanan iftar telah berjaya diagihkan kepada para pelajar UNIMAS di sekitar Masjid Pra-Universiti. Tambahan pula, menu yang dihidangkan sangat memuaskan kerana lengkap dan seimbang serta kuantiti hidangannya memenuhi keperluan tubuh seorang pelajar.

Selain itu, bagi program iftar bersama Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA) pula, program iftar tersebut telah diadakan dengan menyantuni jemputan daripada beberapa pihak untuk menerima sumbangan khas daripada MASNITA. Pada majlis yang sama, Fakulti Kejuruteraan (FK) juga turut serta dengan melibatkan pelajar daripada FK untuk memeriahkan majlis. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Persatuan MASNITA atas kesudian bekerjasama dengan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) untuk program Iftar pada hari tersebut. Majlis ini juga turut dihadiri oleh YBhg Naib Canselor, Prof. Dr Hj Ahmat Hata Rasit dan isteri YBhg Prof Dr Ramlah Zainudin, selaku Yang Dipertua MASNITA.

Dalam memeriahkan lagi sambutan iftar pada bulan Ramadan kali ini, pihak Pra-Universiti juga turut bekerjasama menganjur program iftar yang telah mereka adakan dan bertempat di Masjid Pra-Universiti, Kampus Timur, UNIMAS. Iftar tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 21 Mac 2024 iaitu bersamaan dengan 10 Ramadan 1445H. Para pelajar serta staf PPPU telah bersatu dalam semangat kebersamaan untuk menikmati hidangan yang lazat dan menyantap juadah berbuka puasa bersama. Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat keharmonia dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk merasai kehangatan suasana berbuka puasa bersama-sama, dan dalam masa yang sama ianya dapat mencipta kenangan yang tak terlupakan di zaman pengajian mereka.

Sehubungan dengan itu juga, bagi iftar bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), program berbuka bagi kedua-dua fakulti tersebut telah digabungkan sekali pada 25 Mac 2024 bersamaan dengan 14 Ramadan 1445H. Berikutan dengan itu, bagi menyempurnakan program tersebut, majlis simbolik ringkas bagi penyerahan pek makanan iftar telah diadakan dan disampaikan oleh Profesor Dr. Asri Bin Said, iaitu Dekan bagi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan juga Dr. Hashimatil Fatma Binti Hashim dimana beliau adalah wakil kepada dekan untuk Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS). Program iftar tersebut telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran yang memberansangkan oleh para pelajar daripada kedua-dua fakulti tersebut. Dalam masa yang sama, program iftar ini telah mengalu-alukan bagi mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan. Maka daripada itu, ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak yang sudi memberikan sumbangan tersebut dan didoakan semoga amalan mulia tersebut diterima oleh Allah serta mendapatkan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Bagi program iftar bersama Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) serta Fakulti Alam Bina (FAB), iftar tersebut berjaya dilaksanakan pada 27 Mac 2024 iaitu bersamaan dengan 16 Ramadan 1445H. Sama juga seperti iftar bersama FPSK dan FSTS, iftar tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pelajar dari kedua-dua fakulti tersebut. Iftar tersebut turut dijayakan dengan simbolik pembahagian pek makanan iftar kepada para pelajar. Tambahan juga, pada hari yang sama, sekali lagi program iftar bersama Yayasan Maghfirah turut berlangsung pada petang tersebut dan ianya diadakan di Masjid Pra Universiti, Kampus Timur, UNIMAS. Semua para pelajar yang hadir terlihat sungguh menikmati setiap hidangan iftar yang disediakan.

Sementara itu, pada 28 Mac 2024 iaitu bersamaan dengan 17 Ramadan 1445H, telah berlangsungnya pula bagi program iftar bersama Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dan juga bersama pihak Persatuan Pengurus UNIMAS (PPU). Untuk iftar pada hari tersebut, turut hadir Profesor Madya Dr. Musdi Hj. Shanat, iaitu Dekan bagi Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dan bersama beliau iaitu wakil para pelajar daripada fakulti itu sendiri. Dalam masa yang sama, iftar tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Persatuan Pengurus UNIMAS (PPU). Malahan, sama seperti iftar bersama fakulti yang lainnya, program iftar tersebut turut dijayakan lagi dengan simbolik pembahagian pek makanan untuk iftar kepada para pelajar.

Diharapkan semoga kerjasama bagi program iftar bersama pihak luar mahupun pihak dalaman UNIMAS seperti ini dapat diteruskan lagi pada bulan Ramadan yang akan datang. Secara tidak langsung, melalui program seumpama ini, ia dapat membantu dalam mengeratkan lagi ukhuwah antara staf, para pelajar dengan pihak luar. Semoga juga program-program seperti ini dapat membantu dalam memacu dan menyemarakkan lagi usaha untuk mencapai misi dan visi UNIMAS dalam konteks mendorong komitmen UNIMAS untuk menjadi salah sebuah pusat ataupun Universiti yang inklusif kepada masyarakat.

Disediakan oleh: Fadilah binti Sarkawi, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.