
Rh Edward ak Langu, Pasai Siong, Sibu | 6 Disember 2025 – Program pendidikan dan pencegahan rabies telah berjaya dijalankan di Rh Edward ak Langu, membawa kesedaran, pendidikan, dan perkhidmatan pencegahan terus kepada komuniti yang berisiko tinggi digigit haiwan. Program ini memberi fokus kepada pencegahan rabies, rawatan awal selepas digigit haiwan, dan vaksinasi haiwan peliharaan.

Sejak Julai 2017, Sarawak mencatat 87 kes rabies manusia dengan 80 kematian, manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) merekodkan purata 400 kes gigitan haiwan seminggu, kebanyakannya daripada kucing (61.6%) dan anjing (37.2%), dengan dua pertiga daripada haiwan peliharaan di rumah.

Memandangkan kadar kematian akibat rabies yang tinggi dan kekerapan gigitan haiwan, program ini menekankan kepentingan segera mencuci luka dengan sabun dan air mengalir selama 15 minit, mendapatkan rawatan perubatan dalam masa 24 jam selepas digigit atau dicakar, dan memastikan haiwan peliharaan divaksin secara berkala.

Penglibatan komuniti turut diketengahkan sebagai faktor utama dalam usaha pencegahan rabies. “Selepas kehilangan seorang ahli keluarga akibat rabies, kami sedar betapa seriusnya penyakit ini. Kini kami lebih yakin untuk melindungi keluarga dan komuniti,” kata Encik Edward ak Langu, Tuai Rh Edward.
Kes kematian akibat rabies di Rh Panjang ini terjadi apabila seorang remaja yang terluka di bahagian kepala akibat kemalangan motosikal, menganggap bahawa jilatan anjing boleh menyembuhkan luka tersebut.
Dr Rosalia Saimon, Pensyarah dan Penyelia Pendidikan Rabies, UNIMAS, menekankan, “luka yang dijilat anjing sangat berisiko untuk jangkitan rabies atau bakteria lain, dan ianya tidak digalakkan sama sekali. Walaupun ia sebahagian daripada kepercayaan perubatan tradisional, rawatan moden seperti pembersihan luka, antiseptik, dan vaksinasi adalah cara yang paling selamat dan berkesan”.
Aktiviti yang dijalankan termasuk forum komuniti, demonstrasi cara mencuci luka, aktiviti pendidikan interaktif untuk kanak-kanak dan keluarga, serta perkhidmatan kesihatan dan pergigian.


Program ini dianjurkan oleh pelajar perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS, bersama Jabatan Veterinar Sarawak (Bahagian Sibu), Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Kementerian Kesihatan, Urbanice Malaysia dan dirasmikan oleh Encik Eddy Jemat anak Jilian, Penghulu Kawasan DUN N. 55 – Nangka.

Lebih kurang 100 peserta terdiri dari kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan pelajar hadir ke acara ini menunjukkan kerjasama One Health yang kuat dan komitmen komuniti ke arah persekitaran bebas rabies.
