April 15, 2026
FITZ7117
Seminar Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Simunjan 2026 menyaksikan pembentangan hasil penyelidikan biodiversiti yang berjaya merekodkan penemuan dua spesies baharu, sekali gus memperkukuh peranan UNIMAS dan agensi berkaitan dalam pemeliharaan hutan tropika Sarawak.

KUCHING, 14 April 2026 – Seminar Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Simunjan 2026 dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmu dan pembentangan dapatan penyelidikan hasil daripada ekspedisi saintifik di kedua-dua kawasan tersebut, dengan menampilkan maklumat terkini berkaitan biodiversiti, fungsi ekosistem serta peranan hutan dalam menyokong kelestarian alam sekitar.

Majlis seminar tersebut telah dirasmikan malam tadi di UCSI Hotel Kuching dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Haji Len Talif Salleh, serta Pengarah Hutan Sarawak, Datu Haji Hamden Mohammad.

Turut hadir mewakili Universiti Malaysia Sarawak ialah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Profesor Dr Faisal Ali, Timbalan Dekan fakulti tersebut, Ts. Dr. Mohd Zacaery Khalik, serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib. Seminar itu turut disertai oleh para pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FRST) UNIMAS.

Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal yang berlangsung dari 17 hingga 30 November 2024 serta Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Simunjan dari 16 hingga 25 Ogos 2025 telah melibatkan pelbagai disiplin kajian termasuk flora, fauna, ekologi dan hidrologi. Sebanyak 21 kajian telah dijalankan di Sabal dengan penyertaan 108 peserta, manakala 24 kajian di Simunjan melibatkan 105 peserta termasuk penyelidik daripada UNIMAS, Sarawak Forestry Corporation dan Natural Resources and Environment Board (NREB).

Kedua-dua ekspedisi tersebut berjaya mengesahkan penemuan dua spesies baharu, iaitu Sulettaria kimiana sp. nov., sejenis spesies halia yang ditemui di Hutan Simpan Sabal oleh penyelidik UNIMAS, Prof. Madya Dr. Qammil Muzzamil Abdullah @ Meekiong Kali bersama kumpulannya, serta Hemiplecta gambut sp. nov., iaitu spesies siput darat baharu dari Hutan Simpan Simunjan yang ditemui oleh Ts. Dr. Mohd Zacaery Khalik bersama kumpulannya.

Penemuan ini menyerlahkan kekayaan biodiversiti Sarawak yang masih belum diterokai sepenuhnya serta mencerminkan sumbangan besar penyelidik UNIMAS dalam bidang biodiversiti dan penyelidikan hutan tropika.

Terdahulu, Ekspedisi Saintifik Jemoreng yang diadakan pada Julai 2022 turut mencatatkan rekod baharu kehadiran spesies Presbytis chrysomelas cruciger di kawasan Jemoreng, yang telah dideskripsikan oleh Thomas pada tahun 1892. Susulan penemuan itu, kajian lanjut secara intensif telah dijalankan oleh penyelidik Jabatan Hutan Sarawak, Dr. Ahmad Ampeng bersama kumpulannya sehingga berjaya menghasilkan dokumentasi imej pertama bagi spesies tersebut.

Seminar ini bertujuan membentangkan dapatan kajian kepada pihak berkepentingan, memperkukuh kerjasama antara agensi dan institusi akademik, serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan Hutan Simpan Kekal.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata penglibatan universiti dalam inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UNIMAS 2030 yang memberi penekanan kepada penyelidikan bersepadu serta kerjasama berstruktur antara akademik, industri dan komuniti menerusi High Impact AIC Consortium Projects.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Hutan Sarawak dan UNIMAS telah melaksanakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) sempena sambutan International Day of Forests pada 12 Julai 2025. Kerjasama itu memperkukuh bidang penyelidikan, perkongsian data dan pemindahan ilmu, selain menggalakkan kerjasama strategik yang berterusan bersama pelbagai agensi dan institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.