Oleh: Dr. Faizan Iza Zainuddin
Dalam era pembangunan yang semakin kompleks, pendekatan konvensional yang memisahkan peranan antara akademia, industri dan komuniti dilihat semakin kurang relevan. Keperluan kepada model pembangunan yang lebih inklusif, bersepadu dan berimpak tinggi kini menjadi satu keutamaan, khususnya dalam konteks komuniti luar bandar. Dalam hal ini, penubuhan REDEEMS–UNIMAS–STIDC Living Lab (RUSLL) di Bau, Sarawak, menawarkan satu pendekatan baharu yang signifikan terhadap pembangunan komuniti secara holistik dan mampan. Dalam konteks ini, pembangunan berasaskan sumber tempatan seperti buluh dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui ekonomi hijau, keusahawanan dan pemeliharaan warisan budaya.
Pada 1 April 2026, satu lawatan rasmi oleh delegasi Universiti Malaysia Sarawak ke REDEEMS, Bau telah diadakan bagi tujuan perbincangan lanjut serta pembentangan cadangan penubuhan Real Living Lab yang berfokus kepada pembangunan ekosistem komuniti dan ekonomi hijau bersepadu. Delegasi UNIMAS telah diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib bersama para penyelidik daripada pelbagai bidang kepakaran. Ketibaan rombongan telah disambut oleh Datuk Peter Nansian Ngusie selaku Pengerusi REDEEMS, wakil Sarawak Timber Industry Development Corporation, wakil Pejabat Daerah Bau serta staf REDEEMS.
RUSLL bukan sekadar platform kolaborasi biasa, tetapi merupakan satu pendekatan strategik berasaskan konsep Living Lab yang menggabungkan penyelidikan universiti, kepakaran industri dan pengalaman komuniti dalam satu ekosistem pembangunan yang saling melengkapi. Melalui pendekatan ini, komuniti tidak lagi dilihat sebagai penerima manfaat semata-mata, sebaliknya sebagai rakan strategik yang terlibat secara aktif dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Pendekatan ini membuka ruang kepada komuniti untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi berasaskan buluh seperti penanaman, inovasi produk dan pemasaran digital.
Menurut Datuk Peter Nansian Ngusie, pendekatan ini membuka ruang kepada komuniti untuk memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka sendiri, sekali gus mencerminkan peralihan daripada pendekatan “top-down” kepada model yang lebih inklusif dan berasaskan keperluan sebenar masyarakat.
Dalam masa yang sama, Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib menegaskan bahawa penglibatan universiti dalam inisiatif ini selari dengan visi dan misi Universiti Malaysia Sarawak yang menekankan kesejahteraan komuniti melalui penyelidikan berimpak tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat secara langsung dan berterusan kepada masyarakat, termasuk dalam memperkasa rantaian nilai buluh sebagai sumber ekonomi baharu komuniti luar bandar.
Menariknya, pelaksanaan RUSLL turut melibatkan lapan orang pensyarah utama UNIMAS sebagai penggerak projek yang terdiri daripada Prof. Dr. Zainab binti Ngaini, AP Dr. Mohd Kamal bin Othman, AP Dr. Rosita bt. Hamdan, Dr. Mugunthan A/L Perumal, Dr. Ain Nadirah Romainor, Dr. Faizan Iza Zainuddin, Dr. Wan Norizan Wan Hashim serta Ross Azura Zahit. Penglibatan pelbagai disiplin ini mencerminkan kekuatan pendekatan interdisiplin dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan projek di lapangan.
Secara keseluruhannya, penubuhan RUSLL mencerminkan satu anjakan paradigma dalam pendekatan pembangunan komuniti di Sarawak. Dengan menggabungkan kekuatan akademia, sokongan industri dan penyertaan aktif komuniti, inisiatif ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau serta kelestarian budaya dalam jangka masa panjang.
