July 14, 2025
Metal Health Talk Dr Nur Iwana 9 Julai 2025 (9)

Di Tulis oleh: Dr Hishamuddin Siri

Kota Samarahan, 9 Julai 2025 – Dalam usaha memperkukuh budaya sokongan emosi dan kesejahteraan mental dalam kalangan warganya, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), UNIMAS telah menganjurkan satu sesi bual bicara kesihatan mental bertajuk Mental Health in the Creative Space: Practical Support Strategies. Program ini disampaikan oleh Dr. Nur Iwana Abdul Taib, Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FMHS), UNIMAS, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kesihatan Mental Pelajar UNIMAS 2025-2027 dan Ahli Tetap Jawatankuasa Kerja Teknikal Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Kebangsaan.

Sesi ini memberi tumpuan khusus kepada cabaran kesihatan mental yang kerap berlaku dalam komuniti seni dan kreatif, termasuk keletihan emosi (burnout), tekanan perfeksionisme, kebimbangan melampau, dan isu pengasingan sosial. Berdasarkan data terkini, pengamal industri kreatif mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental berbanding populasi umum. Justeru, pendedahan awal dan pembangunan kapasiti dalam kalangan staf akademik dilihat sebagai langkah penting untuk menangani isu ini dari akar umbi.

Program ini juga memperkenalkan model tindakan SARAH (Support, Assess, Refer, Assist, Help Follow Through) satu panduan praktikal yang direka bentuk untuk membolehkan staf dan tenaga pengajar memberikan sokongan awal kepada pelajar atau rakan sekerja yang sedang mengalami tekanan emosi. Pendekatan ini memberi penekanan kepada nilai empati, kesedaran risiko, serta kepentingan jaringan sokongan di peringkat fakulti.

Menurut Dr. Iwana, “Akademia bukan hanya ruang untuk kecemerlangan intelektual dan teknikal, tetapi juga tempat untuk kita membentuk individu yang berdaya tahan, berbelas kasihan, dan sedar akan nilai kesejahteraan diri serta orang lain.”

Inisiatif ini bukan sahaja selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Good Health and Well-being, tetapi turut memperkukuh aspirasi UNIMAS sebagai Community-Driven University for a Sustainable World. Ia mencerminkan keprihatinan institusi terhadap dimensi manusia dalam ekosistem pendidikan tinggi satu aspek yang semakin mendapat perhatian global dalam landskap pasca-pandemik. Penglibatan aktif FSGK dalam agenda kesihatan mental ini juga berperanan dalam meningkatkan motivasi kerja, produktiviti staf, dan sokongan

pelajar, sekali gus mewujudkan persekitaran akademik yang lebih harmoni dan lestari. Usaha ini dijangka akan diteruskan melalui latihan lanjutan, sesi sokongan berkala, serta penggubalan SOP intervensi awal di peringkat fakulti.

Sebagai antara fakulti yang paling dinamik di UNIMAS, FSGK membuktikan bahawa kreativiti dan kesejahteraan bukanlah entiti yang berasingan. Sebaliknya, apabila kedua-dua aspek ini digabungkan dalam satu budaya kerja yang menyeluruh, maka lahirlah komuniti seni yang lebih kuat, lebih sihat, dan bersedia untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan universiti dan negara.