June 24, 2024

Program kesukarelawan yang telah dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UNIMAS melalui YellowHippo STEM Squad yang diketuai Dr Nazeri Abdul Rahman telah diadakan dengan jayanya dari 18 April 2024 sehingga 20 April 2024 di Kampung Tanjung Baru Maludam, Pusa, Betong, Sarawak. Program ini merupakan kerjasama antara tiga pihak penganjur iaitu Fakulti Kejuruteraan UNIMAS, Gereja Anglikan St. Basil Batu Kawa, dan Penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam. Kehadiran rombongan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS yang dinamakan sebagai YellowHippo STEM Squad dan Gereja Anglikan St. Basil, Batu Kawa telah disambut dengan meriah oleh penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam yang diketuai oleh Tuai Rumah Minin anak Nigong.

Rombongan Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS, Yellow-Hippo STEM Squad disambut dengan meriah oleh penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam

Tujuan program ini dianjurkan adalah bertujuan untuk menyemai dan mendedahkan kepentingan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) khususnya dalam kalangan masyarakat kawasan luar bandar di Maludam. Sepanjang penganjuran program, pelbagai aktiviti yang bermanfaat telah diadakan seperti sesi randau ruai, program keluarga angkat, aktiviti bergotong-royong, sesi pengenalan kepada UNIMAS oleh Dr Nazeri Abdul Rahman kepada penduduk rumah panjang, pengenalan kepada norma kehidupan masyarakat Iban di Kampung Tanjung Baru Maludam, bengkel pembelajaran STEM bersama anak muda di Kampung Tanjung Baru Maludam, dan aktiviti sukaneka bersama penduduk rumah panjang. Selain itu, rombongan UNIMAS juga telah mendapat jemputan daripada seorang usahawan pertanian di Maludam iaitu En Kiing Sky untuk mengadakan lawatan ke ladang fertigasi tanaman cili dan halia. Rombongan UNIMAS juga telah mendapat peluang untuk melawat ke sebuah kilang udang kering yang terdapat di Maludam.

Bergambar bersama keluarga angkat, Puan Seliza anak Jau dan keluarga
Sesi ceramah pengenalan kepada UNIMAS oleh Dr Nazeri Abdul Rahman untuk penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam
Aktiviti STEM (Wind Power) bersama penduduk kampung
Sukaneka bersama penduduk kampung
Melawat ladang fertigasi cili dan halia di Maludam
Rombongan UNIMAS mempelajari proses pembuatan sesar unjur

Bagi memeriahkan lagi program ini, Malam Pesta Berserakup juga telah diadakan untuk memperkenalkan norma kehidupan masyarakat di Sarawak yang pelbagai agama, bangsa, dan budaya. Aktiviti kebudayaan juga telah dipersembahkan oleh rombongan UNIMAS, penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam, dan wakil gereja St. Basil Batu Kawa semasa Malam Pesta Berserakup. Di samping itu, malam Pesta Beserakup itu juga telah menjadi platform untuk menyampaikan logo rasmi rumah panjang, carta organisasi rumah panjang, dan templat surat yang telah dibuat khas oleh Fakulti Kejuruteraan melalui YellowHippo STEM Squad UNIMAS untuk kegunaan komunikasi formal oleh penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam.

Malam Pesta Beserakup
Penyerahan Logo rasmi kepada Tuai Rumah Minin anak Nigong

Majlis penutupan program turut disempurnakan dengan penyerahan perpustakaan mini STEM  kepada penduduk Kampung Tanjung Baru Maludam sebagai inisiatif untuk meneruskan pembelajaran STEM dalam kalangan anak-anak muda di rumah panjang. Majlis penutupan program turut diserikan lagi dengan gimik perasmian melalui demonstrasi eksperimen STEM oleh anak – anak Kampung Tanjung Baru Maludam. Robinson Marcas Anak Nunong telah diberi penghormatan untuk mendemonstrasi eksperimen “Kedondong Battery” manakala demonstrasi eksperimen “Elephant Trunk” telah dilakukan oleh Jacynthia Anyie anak Minin. Acara penutupan program telah diakhiri dengan tayangan video montaj. Pihak penganjur berharap agar program kesukarelawan STEM di Kampung Tanjung Baru Maludam dapat memupuk minat terhadap pendidikan STEM khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar di Maludam.

Penyerahan perpustakaan mini STEM oleh Dr Nazeri Abdul Rahman kepada Tuai Rumah Minin anak Nigong yang disaksikan oleh Archdeacon Jose Jol
Demonstrasi Eksperiment Kedondong Battery oleh Jacynthia Anyie anak Minin
YellowHippo STEM Squad
Disediakan oleh: Dr Nazeri Abdul Rahman, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS
image_printPrint Article/Press Release