KOTA SAMARAHAN – Pada 1 November 2023, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan bangganya menjadi tuan rumah kepada “Seminar Antarabangsa Merentasi Pulau Borneo dan Pulau Jawa.” Seminar ini adalah hasil daripada kerjasama erat antara UNIMAS dan Universiti Islam Negeri Kiai Haji Achmad Siddiq Jember (UIN KHAS).

Acara ini telah berjaya menarik penyertaan 40 orang pelajar pascasiswazah dari UNIMAS dan UIN Khas Jember. Mereka telah berjaya membentangkan hasil kajian masing-masing yang merangkumi pelbagai bidang ilmu termasuk Pendidikan Am, Pendidikan Islam, Pengajian Islam, Bahasa, Komunikasi, Linguistik, dan Pengurusan. Seminar ini menjadi medan yang membolehkan para peserta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dari perspektif yang pelbagai, sekaligus memperkukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi.

Antara matlamat utama seminar ini adalah untuk memupuk kerjasama akademik yang kukuh antara UNIMAS dan UIN KHAS Jember. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan platform yang membolehkan para pelajar pasca siswazah dan ahli akademik berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan pandangan mereka dalam pelbagai bidang ilmu. Seminar ini juga merupakan lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UNIMAS dan 40 Institut Agama Islam Negeri Indonesia pada bulan Julai yang lalu di Hotel Aston, Pontianak.

Dalam ucapan aluan, Profesor Dr. Ambigapathy Pandian, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa Dan Komunikasi, menyatakan bahawa seminar ini akan menjadi medan yang produktif dan dinamik untuk pertukaran idea serta pengetahuan baharu dalam bidang ilmu masing-masing. Beliau juga menekankan bahawa seminar ini merupakan peluang terbaik kepada pelajar UNIMAS untuk memperluaskan rangkaian kerjasama yang dapat membawa hasil yang bermanfaat kepada kedua-dua universiti.

Seminar sehari ini turut dihadiri oleh Dr. Lailatul Usriyah, Pensyarah Pendidikan Guru Madrasah Ibtidaiyah dan Dr. Sofkhatin Khumaidah, Ketua Program Studi ‘Studi Islam’ dari UIN KHAS Jember.

image_printPrint Article/Press Release