December 21, 2024

Kota Samarahan, 19 Mac 2024 : Universiti Malaysia Sarawak dijangka akan menawarkan kursus pengajian bahasa Iban selari dengan cadangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak yang mencadangkan agar diwujudkan kursus ini di universiti tempatan. Pada masa ini, kursus bahasa Iban hanya ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sehubungan itu, penawaran kursus bahasa Iban di UNIMAS dilihat mampu memberikan kemudahan kepada anak tempatan mempelajari bahasa tersebut dengan lebih mendalam dengan adanya kepakaran daripada pensyarah yang terdiri daripada anak tempatan sendiri.

Menurut Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa & Komunikasi, Dr. Dilah Tuah, penawaran program pendidikan di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) penting bagi menampung isu kekurangan guru di Sarawak. Buat masa ini, FPBK UNIMAS hanya mempunyai dua program pendidikan iaitu Bacelor Pendidikan (Pendidikan Islam) dan Master Pendidikan TESOL. FPBK turut menjalankan kajian pasaran (market survey) pada masa ini untuk menyusun atur perancangan bagi menawarkan program peringkat Bacelor Pendidikan seperti Bacelor Pendidikan Bahasa Iban.

Penawaran kursus ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak dalam menangani isu kekurangan pengajar bahasa Iban. Bahkan, penawaran bahasa Iban ini juga dilihat cukup relevan ditawarkan di universiti tempatan. Sebelum itu, satu siri perjumpaan bersama Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah diadakan dan pihak UNIMAS telah diketuai oleh Naib Canselor UNIMAS, YBhg Prof Dr Ahmad Hata Rasit bagi membincangkan penawaran program berkenaan pada Februari lepas.

Menurut Timbalan Dekan (Prasiswazah) FPBK, Dr. Remmy Gedat, pada masa ini Fakulti Pendidikan, Bahasa & Komunikasi mengambil kira masa yang diperlukan untuk membangunkan sebuah program akademik, jadi tempoh yang paling awal dijangka untuk penawaran program bahasa Iban ini adalah pada sesi akademik 2025/2026. Tambahnya lagi, dengan adanya penawaran program bahasa Iban terutamanya program pendidikan bahasa Iban dapat melahirkan guru opsyen bahasa Iban yang kompeten. Dengan keberadaan UNIMAS di Sarawak, memudahkan lagi anak-anak tempatan untuk mendalami bahasa Iban dalam pelbagai aspek. Tambahan pula, bahasa Iban yang sudah lama diajar di sekolah dan aspek penggunaannya juga meluas digunakan di platform media massa di Sarawak. Bahkan juga, sebelum ini penawaran bahasa Iban turut ditawarkan di FPBK, UNIMAS sebagai subjek elektif bagi pelajar-pelajar yang bukan penutur natif selain turut diajar dalam program Linguistik.

Selain itu, UNIMAS akan menggunakan kepakaran pengajar sedia ada di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi dan semestinya kelak juga turut membuka pengambilan pengajar baharu bagi mengukuhkan lagi pasukan pengajar bagi program bahasa Iban ini.

Disediakan oleh:

Dayang Nurlisa binti Abang Zainal Abidin

Penyelaras Pengurusan Media Massa

UNIMAS CORPORATE