November 15, 2024

Oleh Hamizan Sharbini

Teknologi kecerdasan buatan (AI) menjanjikan potensi tidak terbatas.

Daripada automasi industri kepada aplikasi pintar yang memudahkan kehidupan.

Berdasarkan artikel tulisan Ts. Syahrul Nizam Junaini, pensyarah kanan Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat , UNIMAS terbitan majalah Dewan Kosmik 13 Februari 2024, manfaat AI adalah begitu meluas.

Antaranya termasuk sektor pertanian.

Teknologi analitik pintar membantu meningkatkan hasil tanaman dengan memantau keadaan tanah serta mengoptimumkan jadual penyiraman dan penggunaan baja.

Menurut laporan European Union Agency for Law Enforcement Cooperation, menjelang tahun 2026, 90 peratus kandungan dalam talian dijangka dihasilkan secara sintetik melalui aplikasi generatif berbantukan AI.

Memetik laporan yang dikeluarkan oleh firma kajian Precedence Research pula, nilai pasaran teknologi AI dijangka mencapai $1.6 trilion menjelang tahun 2030.

Hal ini menunjukkan peranan penting AI dalam inovasi dan ekonomi digital global.

Selain itu, sektor perbankan juga menggunakan AI untuk menganalisis trend kewangan dan berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan melalui chatbot.

Ini membantu mengurangkan beban kerja manual dan meningkatkan kecekapan operasi.

AI turut memberi sumbangan yang signifikan dalam bidang perubatan.

Teknologi ini tidak hanya memperbaiki kualiti rawatan, tetapi mempertingkat kesiapsiagaan bidang perubatan.

Dengan bantuan AI, diagnosis lebih cepat dan tepat

Ia membolehkan doktor mengendali masalah kesihatan sebelum semakin serius.

Tambahan pula, AI membantu mendapatkan maklumat pesakit dengan mudah.

Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan Program AI untuk Rakyat dengan tujuan memperkuatkan literasi digital dalam negara.

Keterlibatan aktif semua pihak penting untuk memperkuat ekosistem digital negara.

Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan literasi AI, Malaysia berharap menjadi negara maju yang lebih gemilang.