December 21, 2024

18 Januari 2024, Kota Samarahan – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) UNIMAS Sesi 2023/2024 telah berjalan dengan lancar bermula dengan Pengisytiharan Pemilihan MPP pada 02 Januari 2024, seterusnya diikuti dengan Penamaan Calon pada 08 Januari 2024. Selepas Penamaan Calon ditutup, jumlah kerusi yang dipertandingkan ialah 5 kerusi Umum dan 4 kerusi Fakulti. Terdapat 6 kerusi Fakulti yang menang tanpa bertanding dan 1 kerusi Fakulti yang tiada pencalonan iaitu Pusat Pengajian Siswazah.

Pengundian telah diadakan secara e-voting melalui aplikasi U-Votz pada 16 Januari lepas bermula pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Peratusan keseluruhan pelajar turun mengundi ialah sebanyak 71.8 % bersamaan dengan 10,682 orang pelajar.

Peratusan pelajar yang keluar mengundi bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) UNIMAS mencatatkan rekod yang tinggi pada Sesi 2023/2024 ini iaitu sebanyak 71.8% berbanding pada tahun lepas bagi Sesi 2022/2023 sebanyak 38%. Peratusan keluar mengundi ini menunjukkan kepercayaan dan harapan bagi suara siswa dan siswi di UNIMAS terhadap calon yang bertanding untuk mewakili suara pelajar di universiti. 

PMPP kali ini dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar UNIMAS dengan bimbingan daripada pegawai-pegawai Pusat Khidmat Pelajar dan Timbalan-timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Fakulti. Antara strategi yang digunakan pada sesi pengundian kali ini adalah bekerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Fakulti (JPF). JPF memainkan peranan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar untuk turun mengundi di fakulti masing-masing. JPF yang berjaya mencapai peratusan undian melebihi 75%  turut mendapat insentif bagi tujuan menjalankan aktiviti pelajar di fakulti.  Melalui proses ini, pelajar mendapat kesedaran kepentingan untuk keluar mengundi dan memilih Majlis Perwakilan Pelajar yang akan mewakili suara mahasiswa UNIMAS selaras dengan agenda UNDI 18 di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di samping menggunakan peranti peribadi sebagai medium untuk mengundi, strategi lain adalah mewujudkan pusat-pusat mengundi secara fizikal di lokasi strategik tumpuan pelajar iaitu di semua fakulti, kolej-kolej kediaman, Student Pavilion dan juga di PeTARY. Sebanyak 77 peranti digunakan di 17 lokasi berkenaan.  Strategi ini sememangnya membantu terhadap peningkatan peratusan undian pada sesi kali ini.

Selain itu juga, penggunaan media sosial yang luas di laman rasmi Jawatankuasa PMPP dan universiti, fakulti-fakulti, dan pusat-pusat tanggungjawab di bawah PKP dan HEPA telah berjaya mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar UNIMAS untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. 

Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2023/2024 telah mengesahkan keputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak, Sesi 2023/2024 ialah pada 16 Januari 2024 jam 5.30 petang. Tempoh bantahan dan rayuan bermula selepas pengumuman keputusan dibuat sehingga 17 Januari 2024, 12.00 tengah hari. Pengisytiharan rasmi keputusan pemilihan akan dihebahkan selepas tempoh bantahan dan rayuan tersebut.

Semua proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024 berjalan dengan lancar dan dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar melalui Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.

Di samping itu, UNIMAS  melihat pemilihan MPP di peringkat kampus sebagai indikator penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar mengenai kepentingan untuk melaksanakan kewajipan sebagai pengundi dalam sistem demokrasi. Bahkan, pemilihan perwakilan inilah yang akan menjadi suara pelajar di dalam kampus.

Universiti Malaysia Sarawak ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024.Semoga pelajar yang berjaya dipilih mampu membawa suara mahasiswa mahasiswi dan merencanakan transformasi bagi membangunkan agenda universiti.

Jurugambar : Dabif Jack Shaw (Fakulti Pendidikan, Bahasa & Komunikasi).