September 10, 2024

PADAWAN: Penghasilan lada putih premium, yang dahulunya melibatkan proses tradisional yang memakan masa dan tidak efisien, kini mengalami revolusi teknologi.

Ianya berkat kerjasama Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Projek inovatif Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) serta Fakulti Kejuruteraan (FK) ini berjaya menghasilkan sistem aplikasi Internet Benda (IoT).

Melalui prototaip ini, UNIMAS dan MPB merancang strategi replikasi sistem dan pemberian latihan kepada peladang-peladang di seluruh negara.

Ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan teknologi untuk menambah nilai hasil tanaman mereka.

Ts Hj. Ahmad Hadinata Fauzi
Ir Dr Mohamad Asrul Mustapha

Terdiri daripada dua pakej, projek ini diketuai Ts Hj. Ahmad Hadinata Fauzi dari FSKTM bagi pakej IoT dan Ir Dr Mohamad Asrul Mustapha dari FK bagi pakej rekabentuk kejuruteraan dan fabrikasi.

Projek yang bermula pada tahun 2021 ini bertujuan mencipta sistem yang mudah dipasang, berkesan daripada segi kos, dan bersifat automatik dalam menghasilkan lada putih premium.

Kini, hasil lada putih ini mampu mencecah harga kilang hingga RM23,000 satu tan, dengan harga pasaran runcitnya mencecah RM40 sekilogram.

Berbanding lada hitam, lada putih menjadi komoditi berharga tinggi dengan rekod harga kilang mencapai RM30,000 satu tan.

Sebelum ini, penghasilan lada putih melibatkan proses perendaman di dalam air sungai atau kolam selama 14 hari. Teknik ini mempunyai kelemahan seperti kerosakan biji lada akibat pereputan selain bau yang kurang menyenangkan.

Namun, melalui sistem IoT ini, penggunaan tong air yang dikawal kualiti menggunakan penderia IoT berhasil memendekkan tempoh perendaman, memastikan kebersihan air, dan menghasilkan lada putih yang lebih bersih.

Keistimewaan utama sistem ini adalah kemampuannya memantau proses melalui aplikasi hanya daripada telefon pintar.

Hal ini membolehkan pengguna mengawasi proses penghasilan dengan lebih efisien tanpa perlu berada di kebun atau tapak pemprosesan.

Kejayaan projek ini turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Komoditi dan Peladangan, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof semasa program Trek Komoditi Zon Sarawak anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi pada 26 November 2023, di Kampung Begu, Padawan.

Selain memberi manfaat ekonomi kepada peladang tempatan, projek ini juga dijangka akan memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Laporan oleh Seleviawati Tarmizi