September 10, 2024

15 November 2023, UNIMAS – Majlis Apresiasi Gemilang Mahasiswa UNIMAS (MEGAH) merupakan acara anugerah kecemerlangan yang dijalankan secara tahunan di bawah penganjuran pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dan pada tahun ini MEGAH 2023 dikelolakan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan, MPP UNIMAS.

MEGAH yang berlangsung pada hari ini, 15 November 2023 (Rabu) di Dewan Banquet, Detar Putra, Unimas, bermula dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam. Sebanyak 23 anugerah akan diberikan kepada pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Majlis ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak. Turut hadir bersama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UNIMAS; Ybhg. Prof Ir Ts Dr Al-Khalid bin Hj Othman.

Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dalam pelbagai bidang, termasuk aspek sahsiah, akademik, dan kokurikulum, serta penglibatan aktif dan pencapaian di peringkat universiti, kebangsaan, atau antarabangsa. Pelbagai kategori dipertandingkan di MEGAH iaitu Kepimpinan Mahasiswa, Pembangunan Sosial, Pembangunan Akademik & Intelektual, Kreatif & Digital, Individu, Kesukarelawanan dan Khas.

MEGAH juga berperanan dalam meningkatkan motivasi pelajar dan memupuk kecemerlangan secara holistik dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Para pemenang akan membawa pulang wang tunai RM500.00, trofi MEGAH, tumbler, selempang dan jambangan bunga.

Disediakan oleh:

Afif Jazimin Mohd Nizam (Pengarah Majlis Apresiasi Gemilang Mahasiswa UNIMAS 2023)

Dayang Nurlisa Abang Zainal Abidin (UNIMAS Corporate)