December 22, 2024

Graduan jurusan Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Joshua Kenneth Bilang, 22 tahun berkongsi perasaan gembira apabila berjaya menghabiskan pengajian setelah 4 tahun menuntut di UNIMAS, pada pagi ini tadi.

Langkahnya bermula dari pengajian Asasi lagi dan beliau menceritakan ramai pihak yang mendorong dan menyokong dirinya untuk meraih segulung ijazah sehingga sekarang terutama ibu bapanya.

Perasaan bangga yang tak terkata terukir dari raut wajah ibu bapanya. Bilang Oda, 53 tahun, berbangga dapat menyaksikan anak keduanya telah menamatkan pelajaran di sini.

“Joshua merupakan anak kedua saya yang menamatkan pengajian setelah kakak sulungnya yang beroleh Ijazah Sarjana juga di UNIMAS dan Joshua juga pasti akan melanjutkan Ijazah Sarjana pada 2 tahun akan datang lagi di universiti ini.” Tambahan, beliau dan isterinya juga berbangga dapat menghadiri majlis konvokesyen UNIMAS dengan memperagakan busana tradisional Orang Ulu, Belaga.

“Mungkin dahulu kita tidak terlintas untuk memasuki universiti, tetapi sekarang kita boleh membuktikan orang-orang pedalaman juga boleh menyambung pengajian tinggi seperti di universiti ini,” ujar bapa Joshua.

Elemen pada corak lukisan busana juga merupakan corak asal daripada turun-temurun yang membuktikan bahawa nenek moyang mereka sememangnya handal mencorakkan ukiran dalam pelbagai bentuk. Bapanya juga menitihkan pesan agar Joshua dapat meneruskan pelajaran semampu yang boleh dan bersyukur kerana Tuhan menganugerahkan kejayaan kepada anaknya sehingga menjadi anak yang baik.

“Kejayaan itu memang kejayaan kamu sendiri, tetapi sebenarnya turut menjadi kejayaan untuk kami sekeluarga. Jangan lupa kepada Tuhan yang menganugerahkan kepandaian dan kesihatan kepada kamu. Semoga kamu berjaya dalam hidup dan apa jua bidang yang diceburi”, pesan Bilang Oda kepada anaknya, Joshua.

Ditulis oleh:

Velarie Unyie ak Philip Bawel

Students Reporter UNIMAStars

Foto oleh Dabif Jack Shaw