
Disediakan oleh Pn Rosnah Mustafa dan Dr Hamidah Abdul Wahab (Pensyarah Kanan, Program Linguistik, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi)
Semester 2, 2024/2025 menyaksikan kursus PBS3034 Kesusasteraan Borneo-Kalimantan melabuhkan tirai penawaran kursus dari Program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Linguistik) dengan Kepujian. Keputusan ini merupakan hasil perbincangan mendalam dan semakan kurikulum bagi memastikan program sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Penjumudan kursus PBS3034 Kesusasteraan Borneo-Kalimantan akan digantikan dengan kursus baharu dengan kod kursus PBS2043.

Kohort terakhir yang mengikut PBS3034 Kesusasteraan Borneo-Kalimantan terdiri daripada seramai 104 orang pelajar. Melalui kursus tersebut, mereka berpeluang belajar tentang karya-karya sastera terpilih, merangkumi karya klasik dan karya moden dari negeri Sarawak dan Sabah, negara Brunei Darussalam dan juga wilayah Kalimantan, Indonesia. Dalam khusus ini, pelajar didedahkan dengan karya berstatus Magnum Opus iaitu Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan oleh Ahmad Shawal Hamid (1876). Novel ini merupakan karya Melayu berciri novel pertama di dunia, dan dihasilkan oleh pegawai yang berkhidmat Sarawak.

Magnum Opus Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kemenangan karya Ahmad Shawal Hamid (1876)
Menariknya, novel yang berusia 149 tahun ini dijadikan teks wajib untuk pelajar-pelajar PBS3034 Kesusasteraan Borneo-Kalimantan. Teks ini ditulis pada kurun ke-19, dicetak secara litografi pada 30 Jun 1876 di kampung Boyan, Kuching. Karya agung ini dijumpai di Rhodes Library, Oxford, United Kingdom oleh The Sarawak Literary Society pada tahun 1980-an.
Kini, usaha mengangkat kedudukan teks ini sebagai novel Melayu pertama di dunia giat dijalankan seiring dengan inisiatif Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS). Agensi Melayu-Sarawak itu juga dalam proses mengangkat kedudukannya menjadikan ia teks yang diiktiraf di peringkat UNESCO. Seiring dengan semangat yang sama, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi melalui Program Linguistik turut serius menyumbang penyelidikan akademik bagi menyokong usaha memperluas pembacaan novel. Selain itu, Hikayat Panglima Nikosa (seterusnya HPN) turut dijadikan sebagai salah satu teks kajian utama dalam kursus PBS3034 sejak awal penawaran program pada tahun 2014 lagi.
Di samping memfokuskan kepada HPN, teks lain yang dibincangkan termasuklah Syair Rakis nukilan Pengiran Syahbandar Pengiran Muhammad Salleh Ibnu Pengiran Sharmayuda; cerita pendek I Am A Bird oleh Dr Kathrina Haji Mohd Daud dari negara Brunei Darussalam; Kai Imbran dan Sepedanya oleh Ahmad Husaini dan enam cerpen pilihan dari antologi Cerpen Momogunsa: Pahlawan Tambuyukon, iaitu Haruman Talantang oleh Nurulainawati Mohd Omar, Rampanau karangan Jeremy Markus, Thiodan oleh Jalumie Mujit, Cintaku Berputik di Sinurambi nukilan Kathrina Susanna Tati, Gimbaran oleh Rozeline Vitalis, dan Peristiwa di Nunuk Ragang tulisan Steffanus Markus.
Sejajar dengan pengukuhan kandungan kursus PBS3034, satu simposium dianjurkan dengan kerjasama pensyarah dari Akademi Pengajian Melayu (APM) UM bersama-sama pensyarah-pensyarah Program Linguistik dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS. Program perkongsian ilmu akademik dan pengalaman ini berteraskan sastera, budaya dan sastera yang julung kali diadakan pada 17 Jun 2025 dengan tema “Sastera, Bahasa dan Budaya Nusantara”.
PENYELARAS PROGRAM SASTERA (LINGUISTIK) FPBK UNIMAS
Simposium dijalankan secara santai antara pensyarah dengan pelajar APM dan FPBK. Aktivit utama simposium adalah sesi kuliah umum di sebelah pagi. Antara wakil dari APM yang turut serta ialah Dekan Akademi Pengajian Melayu, Prof. Madya Dr. Sabzali Musa Khan; Datuk Prof. Kolonel (K) Dr. Awang Azman Awang Pawi, Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu; Pensyarah Kanan Dr. Nurul Asmaa’ Akmal Md Din dan Dr Zahiruddin Mohd Zabidi. Manakala wakil FPBK yang hadir ialah Dr Dilah Tuah, selaku Dekan FPBK; Dr Remmy selaku Timbalan Dekan Akademik, Dr Hj Shantrol Abdullah, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pensyarah Kanan Dr Hamidah Abdul Wahab, Pn Rosnah Mustafa, Pn Siti Marina Kamil dan Guru Bahasa, En. Muhammad Qhidir Mat Isa.
Kuliah umum yang diadakan di Bilik Pembelajaran 4, Central Teaching Facility 3 (CTF3) bermula jam 9.30 pagi oleh Datuk Prof. Kolonel (K) Dr. Awang Azman Awang Pawi. Beliau merupakan tokoh akademik dan budaya negara bidang sastera dan budaya Melayu tempatan dan antarabangsa. Beliau juga merupakan pembina kursus PBS3034 Kesusasteraan Borneo-Kalimantan semasa berkhidmat dengan UNIMAS pada lewat 1990-an sehingga tahun 2015.

Kuliah umum disampaikan selama dua jam, yang berkongsi panjang lebar tentang kajian sastera dan budaya di kepulauan Borneo selain mengetengahkan nama-nama besar penggiat sastera dan budaya, berserta krrya-karya masing-masing.
Di sebelah petang, aktiviti tertumpu kepada pembentangan kertas kerja daripada wakil oleh barisan penyelidik APM dan FPBK UNIMAS di SPACE, FPBK. Antara yang hadir ialah pelajar-pelajar tahun dua kursus PBS2043. Pembentang dan kertas kerja adalah seperti yang berikut;
- Prof. Madya Dr Sabzali – membentangkan kajian dan pengalaman beliau dalam penggunaan seni untuk Orang Kurang Upaya (OKU);
- Dr Asmaa membentangkan kajian tentang persepsi dan sosioekonomi janitor berbangsa Indonesia di Belanda;
- Dr Zahiruddin membincangkan arus intelektual dialog Mesir-Borneo.
Di pihak FPBK pula;
- Dr Dilah Tuah membentangkan tentang kajian etnobotani dan kearifan tempatan;
- Dr Haji Santrol membentangkan kajian yang meneliti keindahan bahasa dalam lagu-lagu Melayu Sarawak.

Simposium ini berakhir dengan ucapan kedua-dua dekan fakulti yang beriltizam untuk meneruskan usaha-sama kesarjanaan ini pada masa akan datang.
Simposim dirasmikan oleh Dr Dilah Tuah, Dekan Fakulti. Turut serta dalam majlis perasmian ialah pensyarah-pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya; pensyarah-pensyarah, pegawai-pegawai dan pelajar-pelajar dari Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi.