KOTA SAMARAHAN — Program Linguistik di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), terus komited memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penawaran kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa. Bermula Semester 2 Tahun Satu, pelajar program ini diberikan pilihan mengikuti salah satu daripada dua komponen teras elektif, iaitu Bahasa dan Media atau Sastera dan Budaya. Setiap komponen merangkumi enam modul yang dibangunkan hasil semakan kurikulum berterusan selaras dengan fokus universiti.
Pada semester ini, pelajar kumpulan Bahasa dan Media mengikuti kursus Media dan Bahasa Pemujukan, manakala pelajar kumpulan Sastera dan Budaya mengikuti kursus Budaya Popular. Sebagai sebahagian daripada penilaian berterusan, kedua-dua kursus ini telah menganjurkan satu pameran akademik yang dirancang dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar. Pameran ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar berkongsi hasil kajian, membentangkan analisis kritis serta mengadakan perbincangan akademik berkaitan bahasa, media dan budaya dalam konteks masyarakat kontemporari.
Pameran berkenaan telah berlangsung pada 5 Januari 2026 bertempat di Lobi FPBK, UNIMAS. Program ini melibatkan seramai 128 orang pelajar tahun tiga, dua orang pensyarah serta beberapa kakitangan pentadbiran fakulti. Pameran yang berlangsung sepanjang hari itu turut menerima kunjungan pelajar, pensyarah serta pengunjung luar. Sebanyak 25 bahan pameran berbentuk poster dan rujukan ilmiah digital telah dipamerkan dan dibentangkan, di samping sesi soal jawab yang menilai keupayaan pelajar mengemukakan hujah serta mempertahankan analisis secara kritis.
Melalui kursus Budaya Popular, pelajar membincangkan pelbagai isu dan trend semasa seperti media sosial, bahasa dan slanga, konsumerisme, makanan, fesyen serta kesihatan. Perbincangan ini memberi pendedahan terhadap kesan budaya popular terhadap aspek sosial, ekonomi dan gaya hidup, khususnya dalam kalangan generasi muda. Pendekatan ini membantu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peranan dan tanggungjawab belia dalam menangani pengaruh budaya popular yang semakin meluas.
Sementara itu, kursus Media dan Bahasa Pemujukan memberi penekanan kepada teori dan aplikasi bahasa pemujukan dalam media tempatan dan antarabangsa, termasuk media sosial. Pelajar didedahkan kepada penggunaan bahasa sebagai alat mempengaruhi pemikiran dan sikap khalayak secara beretika, khususnya dalam penyampaian berita dan maklumat awam. Kefahaman ini penting dalam membentuk individu yang kritis serta berupaya menilai kesahihan maklumat.


Pensyarah kursus, Puan Rosnah Mustafa dan Dr. Shantrol Abdullah, telah memberikan kepercayaan penuh kepada pelajar untuk merancang dan melaksanakan pameran ini dari peringkat awal hingga akhir. Secara keseluruhannya, penganjuran pameran ini berjaya mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis pelajar, selaras dengan aspirasi UNIMAS untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing.