Perbincangan mengenai kebolehpasaran dan ketidakpadanan graduan wajar juga dilihat dalam konteks transformasi struktur ekonomi Malaysia yang sedang berlangsung. Peralihan ke arah ekonomi berasaskan teknologi, produktiviti tinggi dan rantaian nilai yang semakin kompleks secara semula jadi mengubah corak penawaran tenaga kerja, khususnya pada peringkat awal kerjaya. Oleh itu, isu graduan hari ini tidak boleh ditafsir secara statik atau bersandarkan indikator asas semata-mata, tanpa mengambil kira dinamika gaji, kos sara hidup serta sifat peralihan dalam pasaran buruh moden.

Sehubungan itu, naratif awam berkaitan ketidakpadanan graduan perlu dianalisis secara lebih seimbang dan menyeluruh. Ia tidak wajar dibingkaikan seolah-olah kegagalan sistem pengajian tinggi semata-mata, sedangkan realitinya cabaran ini melibatkan interaksi kompleks antara pendidikan, pasaran buruh, struktur upah, produktiviti firma dan hala tuju transformasi ekonomi negara.
Dalam konteks ini, UNIMAS berpandangan bahawa penggunaan istilah “underemployment” kurang tepat untuk menggambarkan realiti semasa pasaran buruh graduan di Malaysia. Isu teras yang dihadapi bukanlah kekurangan peluang pekerjaan atau lebihan graduan, sebaliknya berkait rapat dengan struktur gaji formal pada peringkat awal kerjaya yang masih belum sepenuhnya mencerminkan nilai kemahiran, tahap produktiviti sebenar dan kos sara hidup semasa.

Dalam banyak keadaan, peluang pekerjaan sememangnya wujud, namun sering ditawarkan pada tahap imbuhan yang relatif rendah, khususnya pada peringkat awal kerjaya. Keadaan ini menyebabkan sebahagian graduan baharu lebih berhati-hati dan selektif dalam membuat keputusan kerjaya.
Tambahan pula, realiti pasaran buruh graduan tidak bersifat homogen merentas lokasi. Perbezaan struktur ekonomi, tahap kompleks struktur industri dan kos sara hidup antara wilayah menjadikan pulangan kepada kemahiran berbeza mengikut geografi, sama ada di bandar utama mahupun di negeri-negeri lain dari Perlis hingga Sarawak.
Dalam konteks ini, kewujudan jaringan perlindungan sosial seperti subsidi bersasar, bantuan tunai dan sokongan kos sara hidup berfungsi sebagai penampan sementara yang membolehkan graduan menilai pilihan kerjaya secara lebih rasional dan tidak tergesa-gesa menerima pekerjaan, sambil mengambil kira kesesuaian lokasi, kos kehidupan dan aspirasi jangka panjang mereka.

Situasi ini tidak wajar ditafsirkan sebagai kelemahan pasaran buruh, sebaliknya mencerminkan fleksibiliti pilihan dalam fasa peralihan awal kerjaya, sementara struktur imbuhan dan penyesuaian spatial pasaran buruh sedang melalui proses penyesuaian.
Pun begitu, Kerajaan sedang melaksanakan campur tangan dalam mereformasikan struktur gaji secara berperingkat dan bersasar. Ini termasuk pengemaskinian gaji minimum yang lebih responsif kepada keadaan pasaran, pelaksanaan awal dasar gaji progresif, pelarasan gaji sektor awam, serta perhatian khusus terhadap kebajikan profesion kritikal seperti doktor melalui penambahbaikan skim gaji dan insentif perkhidmatan. Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen jelas kerajaan untuk memperkukuh penjajaran antara gaji, produktiviti dan keperluan ekonomi sebenar.
Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan bahawa isu ketidakpadanan graduan tidak seharusnya dibebankan sepenuhnya ke atas Kementerian Pengajian Tinggi. Secara objektif, sektor pengajian tinggi telah melaksanakan peranan mereka dengan baik dan mencukupi dalam menyediakan modal insan yang relevan dengan keperluan ekonomi semasa. Cabaran sebenar terletak pada penyelarasan merentas ekosistem, yang melibatkan peranan industri dalam penstrukturan gaji dan latihan, dasar buruh yang menyokong mobiliti serta produktiviti, dan strategi ekonomi yang mendorong firma bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
Melabelkan situasi semasa secara ringkas sebagai underemployment berisiko menyederhanakan isu yang sebenarnya bersifat struktur dan transformasi. Malaysia memerlukan lebih ramai bakat berkualiti, selari dengan tahap economic complexity negara yang semakin meningkat dan antara yang tertinggi di rantau ASEAN. Keupayaan negara untuk melonjak ke rantaian nilai yang lebih tinggi bergantung kepada sejauh mana modal insan dapat dimanfaatkan secara optimum, disokong oleh struktur gaji yang lebih adil, progresif dan sejajar dengan realiti pasaran.