Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menghargai perbincangan kritikal yang dibangkitkan dalam sebuah artikel bertajuk “The Ivory Tower’s Silent Crisis: Why Malaysian universities must learn to learn”, yang mengutarakan kebimbangan terhadap isu-isu sistemik yang dikatakan berpotensi menjejaskan integriti akademik, inovasi dan kualiti pendidikan sebenar di universiti awam di Malaysia.

Tradisi universiti sememangnya berakar kepada wacana, refleksi dan keberanian untuk menilai diri. Namun demikian, UNIMAS berpandangan bahawa gambaran terhadap universiti awam Malaysia secara keseluruhan yang bersifat terlalu umum dan simplistik tidak sepenuhnya mencerminkan realiti kepelbagaian fungsi, peranan dan konteks institusi pendidikan tinggi di negara ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Dr. Ahmad Hata bin Rasit menegaskan bahawa, “Universiti tidak boleh diukur semata-mata melalui angka, kedudukan atau penarafan. Nilai sebenar sebuah universiti terletak pada keupayaannya membentuk manusia yang beretika, menyelesaikan masalah sebenar masyarakat, serta memberi makna kepada pembangunan wilayah dan negara. Di UNIMAS, kami melihat pembelajaran sebagai satu proses hidup — sentiasa belajar, menilai semula dan memperbaiki diri demi masa hadapan yang lestari.”

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sentiasa mendokong tradisi akademik yang berteraskan wacana kritis, refleksi kendiri dan keberanian intelektual sebagai pemangkin kemajuan institusi. Dalam menanggapi perbincangan mengenai hala tuju universiti awam, UNIMAS berpendirian bahawa penilaian yang bersifat umum sering kali gagal mengenalpasti dinamika dan kepelbagaian realiti institusi.
Sebagai sebuah universiti yang berpaksikan pembangunan wilayah, UNIMAS menegaskan bahawa impak terhadap manusia, komuniti dan alam sekitar merupakan teras fundamental kewujudannya, manakala penarafan antarabangsa dan Indikator Prestasi Utama (KPI) berfungsi sebagai instrumen navigasi strategik bagi memastikan akauntabiliti awam serta daya saing global.
Dalam menjamin integriti akademik, UNIMAS mengamalkan pendekatan sistemik melalui pengukuhan mekanisme tadbir urus institusi. Usaha ini dizahirkan menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Etika Penyelidikan, pelaksanaan polisi integriti yang telus, serta pemisahan autoriti yang jelas antara fungsi pentadbiran dan penilaian akademik. Sebarang cabaran dalam ekosistem penyelidikan ditangani secara institusional bagi memastikan usaha kolektif warga akademik yang berdedikasi tidak dinafikan oleh naratif tunggal yang tidak seimbang.

Selaras dengan Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030, universiti ini memperkukuh konsep People-Centered University melalui budaya tadbir urus reflektif dan pembuatan keputusan berasaskan bukti. Pendekatan ini diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif living lab yang melibatkan pemegang taruh, komuniti dan industri secara langsung, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi praktikal. Di samping itu, UNIMAS mengadaptasi prinsip lean management dengan memberikan autonomi berstruktur kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) bagi meningkatkan kecekapan operasi, sambil mengamalkan budaya perkongsian sumber — kepakaran, ruang dan fasiliti — bagi memastikan penggunaan sumber kampus yang lebih efisien, inklusif dan lestari.
Sebagai tunjang pendidikan tinggi di Borneo, UNIMAS memainkan peranan penting dalam memacu agenda pembangunan wilayah dan negara. Melalui kurikulum yang relevan serta penyelidikan bitara dalam bidang biodiversiti, kelestarian, transformasi komuniti, teknologi maklumat dan kesihatan komuniti, UNIMAS bukan sahaja melahirkan modal insan yang kompeten, malah menawarkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran sosio-ekonomi nasional. Sumbangan ini memperkukuh kedudukan UNIMAS sebagai institusi yang bukan sekadar menghasilkan ilmu, tetapi bertindak sebagai ejen perubahan yang bermakna kepada masyarakat.
UNIMAS percaya bahawa kematangan sesebuah institusi diukur melalui keupayaan kepimpinannya untuk mengimbangi keperluan pelbagai pemegang taruh tanpa mengorbankan nilai teras ilmu. Struktur organisasi yang mantap digerakkan melalui kepimpinan berasaskan empati, amanah dan kebertanggungjawaban agar universiti kekal dinamik dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
UNIMAS menolak persepsi bahawa universiti awam kini kehilangan suara atau arah. Sebaliknya, universiti sedang melalui proses evolusi yang matang untuk mengimbangi tuntutan kerajaan, industri dan masyarakat global tanpa mengorbankan nilai teras keilmuan. Kritikan konstruktif sentiasa dialu-alukan sebagai pemangkin penambahbaikan, namun harus disertai kefahaman bahawa pembinaan institusi yang teguh memerlukan konsistensi, masa dan iltizam yang berterusan. UNIMAS kekal relevan, dinamik dan komited untuk terus belajar serta memimpin dalam dunia yang semakin mencabar.