April 1, 2026
Ikan bandaraya atau nama saintifiknya Pterygoplichthys spp. merupakan “pendatang” kepada ekosistem tempatan

Sebagai sebahagian daripada pengisian projek Komuniti@UniMADANI 2025, pasukan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menjalankan aktiviti lapangan di Sungai Kerangan, Balai Ringin bagi menilai isu kehadiran ikan bandaraya, spesies ‘pendatang’ yang semakin kerap dilihat dan ditangkap nelayan-nelayan kecil di sini.

Sungai Kerangan, Balai Ringin, Serian, Sarawak

Menurut Ts. Mohd Nasarudin Harith, ketua projek ini, kehadiran ikan bandaraya di kawasan luar bandar perlu difahami dengan lebih mendalam kerana ia boleh mempengaruhi biodiversiti tempatan serta aktiviti harian penduduk yang bergantung pada sumber sungai.

“Ikan bandaraya akan menjadi ancaman jika ia dibiarkan hidup bebas tanpa kawalan. Namun melalui pendekatan saintifik dan libatsama komuniti, kita boleh menilai sama ada ia juga menyimpan potensi lain seperti sumber protein atau bahan untuk produk lestari. Kami mendengar sendiri pandangan dan kebimbangan mereka. Ini bukan sekadar kajian biologi, tetapi usaha membina kefahaman bersama tentang alam sekitar yang menjadi sumber kehidupan komuniti,” – Ts. Nasarudin.

Kajian ini turut dibantu oleh En. Harris Norman Mustafa Kamal dalam kerja-kerja lapangan dan dokumentasi habitat.

“Sejak kebelakangan ini ikan ini banyak terperangkap di pukat dan kulitnya yang keras akan merosakkan jaring pukat tersebut” – En. Harris

Ahli-ahli projek lain ialah Prof. Dr. Khairul Adha A. Rahim, Dr. Ahmad Syafiq Ahmad Nasir, Dr. Roslianah Asdari dan Dr. Teng Sing Tung.

Sesi perbincangan bersama ketua kaum dan wakil penduduk kampung turut diadakan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai kehadiran spesies ikan ini. Disamping itu, perbincangan juga menelurusi potensi menukar ikan bandaraya sebagai sumber protein bagi mempertingkat kualiti hidup penduduk setempat.  Pertemuan ini menjadi asas penting untuk membangunkan pendekatan pengurusan bersama (co-management) antara universiti dan masyarakat setempat.

Perbincangan bersama ketua kaum dan wakil komuniti

Untuk itu, program Komuniti@UniMADANI yang ditaja oleh Kementerian Kewangan Malaysia akan terus memperkukuh usaha menjadikan sains sebagai alat perubahan sosial yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan kesejahteraan masyarakat.

Pendekatan ini bukan sahaja meneliti kesan ikan bandaraya terhadap ekosistem tempatan, tetapi juga meneroka potensi sumber ini sebagai manfaat baharu kepada komuniti, sejajar dengan pendekatan Pembangunan Sosial dan Kelestarian Alam (PSKA) universiti.

“Setiap penemuan di lapangan membuka ruang baharu untuk memahami alam dan memanfaatkan potensinya dengan cara yang bertanggungjawab” – Ts. Nasarudin.