Pada 12 Mac 2026 yang lalu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS telah melaksanakan Program Kasih Syawal FPSK di Tanjung Bako sebagai sebahagian daripada program khidmat komuniti tahunan fakulti. Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan dalam kalangan komuniti setempat, khususnya penduduk kategori B40, di samping menyemarakkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan warga fakulti.

Penerima sumbangan bagi program ini dikenal pasti dengan kerjasama penghulu kampung bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Pada tahun ini, sebanyak sembilan keluarga telah dipilih sebagai penerima yang terdiri daripada warga emas yang tinggal bersendirian, ibu dan bapa tunggal serta individu yang berdepan dengan kesukaran hidup.
Sebahagian daripada penerima juga sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan seperti penyakit buah pinggang kronik, kecederaan patah tulang pinggul serta masalah pergerakan yang membataskan aktiviti harian mereka. Keadaan ini menjadikan, sokongan dan perhatian daripada warga Fakulti amat bermakna buat mereka.


Sumbangan yang diberikan merupakan hasil kutipan derma dan sumbangan ikhlas daripada warga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sendiri. Walaupun tidak besar nilainya, sumbangan ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban serta menceriakan mereka sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Melalui program ini, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan berharap usaha kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada para penerima serta mengukuhkan hubungan antara fakulti dan komuniti setempat. Program Kasih Syawal ini juga diharapkan akan terus menjadi platform untuk menyemai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga fakulti.



