Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mencapai penarafan lima bintang dengan markah penuh 100% dalam penilaian Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam (MyMoheS) bagi data berakhir 31 Disember 2025. Pencapaian ini telah diumumkan semasa Mesyuarat Kualiti Data Bil. 1/2026 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka baru-baru ini.
MyMoheS yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan institusi pengajian tinggi dalam aspek sistem penyaluran maklumat serta pengurusan dan penyimpanan data berkaitan pelajar, staf, penyelidikan dan institusi.
Penarafan ini dilaksanakan berdasarkan kriteria dan ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian, merangkumi Masa Penghantaran (20%), Kesempurnaan Data (40%) dan Kualiti Data (40%).

Pengiktirafan “standard emas” ini bukan sahaja membuktikan kewibawaan tadbir urus universiti, malah melonjakkan kredibiliti UNIMAS di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai institusi yang mempunyai integriti data yang tinggi. Imej positif ini secara langsung membantu menarik lebih banyak rakan kolaborasi serta bakal pelajar, membuktikan bahawa UNIMAS adalah sebuah institusi yang dipacu oleh kecemerlangan tadbir urus yang diiktiraf.
Dengan pengurusan asas data yang mantap, akan membantu UNIMAS untuk merancang keperluan masa depan, memastikan universiti kekal relevan dan berdaya saing bagi tempoh dekad yang akan datang.

Pencapaian ini merupakan testimonial kepada budaya kerja cemerlang di UNIMAS, telah bersedia sepenuhnya untuk mendepani cabaran transformasi digital melalui pengurusan data yang cemerlang.
Pihak Universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, khususnya Pemilik Data, SQRC selaku Penyelaras MyMoheS UNIMAS, serta TAHODC sebagai kumpulan teknikal, atas komitmen dan kerjasama berterusan sehingga kejayaan ini dicapai.