Disediakan oleh: Dr. Dilah Tuah
Kota Samarahan, 23 Januari 2025 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus komited memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan jaringan akademik serantau menerusi lawatan rasmi ke Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, yang melibatkan beberapa institusi pendidikan tinggi utama di Kalimantan Barat serta perwakilan diplomatik Malaysia.
Delegasi UNIMAS diketuai oleh Prof. Dr. Mohammad Affendy Arip, Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, bersama Dr. Dilah Tuah, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Profesor Gs. Dr Tarmiji Masron, Pengarah Pusat Perancangan Strategik, Pengurusan Kualiti dan Risiko, serta Prof. Dr. Zaimuariffudin Shukri Nordin, Ketua Jabatan Pendidikan FPBK.
Lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Rektor Institut Agama Islam Negeri Pontianak (IAIN Pontianak), yang memfokuskan pengukuhan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada, khususnya dalam bidang kolaborasi akademik, mobiliti pelajar dan staf, serta penganjuran aktiviti ilmiah bersama.
Pada hari yang sama, delegasi UNIMAS turut mengadakan kunjungan hormat ke Universitas PGRI Pontianak yang disusuli dengan kuliah tamu serta promosi program pascasiswazah UNIMAS. Sesi ini mendapat sambutan positif dalam kalangan warga akademik dan bakal pelajar, sekali gus meningkatkan visibiliti program pascasiswazah UNIMAS di Indonesia.

Sebagai sebahagian daripada rangka lawatan, delegasi UNIMAS turut mengadakan pertemuan dengan Konsul Malaysia di Pontianak. Pertemuan ini memperkukuh sokongan diplomatik terhadap agenda pengantarabangsaan universiti, termasuk aspek mobiliti akademik, kebajikan warga universiti ketika berada di Kalimantan Barat serta peranan Konsulat sebagai pemudah cara kerjasama pendidikan tinggi rentas sempadan.

Pada 13 Januari 2026, UNIMAS menyampaikan Syarahan Kuliah Tamu di IAIN Pontianak melalui inisiatif International Guest Lecture 2026. Program ini menjadi platform perkongsian ilmu, memperkukuh jaringan akademik antarabangsa dan mempromosikan amalan terbaik dalam pendidikan tinggi serta penyelidikan.

Delegasi UNIMAS kemudiannya mengadakan kunjungan hormat ke Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Tanjungpura (UNTAN), bagi meneroka peluang kerjasama dalam kuliah tamu, penyelidikan bersama dan mobiliti akademik, selain mempromosikan program pascasiswazah UNIMAS.

Kemuncak lawatan ialah Bengkel Pengukuhan Pascasiswazah IAIN Pontianak–UNIMAS yang berlangsung pada 14 Januari 2026. Bengkel ini memberi tumpuan kepada pemantapan kualiti penyelidikan doktoral, meliputi etika penyelidikan, format penulisan tesis, pengukuhan gaya Bahasa Melayu ilmiah, serta strategi penerbitan dalam jurnal berindeks antarabangsa. Pengisian bengkel disampaikan oleh empat orang pakar dari UNIMAS dan memberi impak langsung kepada hala tuju serta kualiti penyelidikan para peserta Ph.D.

Secara keseluruhannya, lawatan rasmi UNIMAS ke Pontianak telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan berkesan. Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik dan silaturahmi dengan rakan institusi di Indonesia, malah menjadi asas kukuh kepada kerjasama akademik, penyelidikan dan mobiliti yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi di peringkat serantau.