January 12, 2026
PHOTO-2026-01-12-13-53-07

Disediakan oleh Syed Armiezan bin Wan Fauzie

SRI AMAN, 7 Disember 2025 – Seramai 46 orang pelajar Tahun 2 Program Ijazah Sarjana Muda Linguistik, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menjayakan program lawatan ke Rumah Panjang Maureen, Kampung Kara Atas, Lachau. Program selama dua hari satu malam yang bermula pada 6 Disember 2025 ini bertujuan memberi pengalaman sebenar tinggal di rumah panjang dan melakukan aktiviti harian bersama penduduk kampung.

Rombongan yang bertolak seawal jam 9:00 pagi dari kampus UNIMAS mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di destinasi. Ketibaan para pelajar dan pensyarah disambut penuh adat istiadat oleh penduduk rumah panjang. Suasana tradisi jelas terasa apabila rombongan disambut dengan tarian Ngajat oleh penari yang mengenakan busana lengkap masyarakat Iban; penari lelaki segak dengan Baju Burung manakala penari wanita anggun mengenakan Ngepan Indu, diiringi paluan engkerumung, tawak, dan gendang pampat.

Kemeriahan majlis diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada Tuai Rumah Maureen yang menzahirkan rasa besar hati atas kesudian pihak UNIMAS memilih komuniti beliau. Turut hadir ialah Penghulu kawasan setempat. Dalam ucapannya, beliau berharap agar kerjasama erat antara UNIMAS dan komuniti akan dapat memartabatkan budaya Iban serta mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung dan warga universiti.

Menurut pensyarah pengiring, Dr. Remmy, lawatan ini dirangka khusus bagi memenuhi keperluan kursus bahasa Iban, untuk topik pengalaman di rumah panjang dan temu bual bersama masyarakat Iban. Sekali gus, mengumpul data bagi melengkapkan tugasan yang telah diberikan. Melalui tugasan ini, pelajar dapat mempraktikkan teknik dokumentasi dan komunikasi silang budaya dalam konteks sebenar.

Selain sesi akademik, pelajar turut menyantuni penduduk melalui aktiviti gotong-royong dan kebudayaan. Mereka tidak melepaskan peluang mempelajari pembuatan kuih Penganan Jala dan penyediaan Manuk Pansuh (Ayam Pansuh), serta melihat sendiri kehalusan seni tenunan yang menjadi identiti masyarakat Iban.

Menelusuri pendekatan komuniti dan melalui pengalaman sebenar di rumah panjang, program ini telah memberikan impak positif yang signifikan dalam memperkasakan jati diri pelajar. Ia bukan sekadar satu lawatan, malah menjadi platform penting bagi pelajar menghayati nilai warisan yang perlu dipelihara. Melalui wadah seumpama ini, para pelajar pulang ke universiti membawa ilmu baharu dan data kajian yang berharga hasil daripada pengalaman bermakna di Rumah Panjang Maureen.