January 7, 2026

ASAJAYA, SARAWAK – Pada 3 hingga 4 Januari 2026, Pesta Ambal Asajaya telah berjaya dilaksanakan sebagai sebuah projek berimpak tinggi berteraskan pembelajaran khidmat masyarakat Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Program ini melibatkan seramai 74 orang pelajar Tahun Akhir Program Psikologi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, serta ketua-ketua kampung di sekitar Asajaya.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam ini berperanan sebagai platform integratif yang menghubungkan pembelajaran akademik, pembangunan sahsiah pelajar dan pemerkasaan komuniti setempat.

Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, antaranya AmbalHunt, iaitu pertandingan menangkap ambal, serta Amballicious: Pertandingan Memasak Ambal. Kedua-dua subprogram ini berjaya menonjolkan identiti dan warisan masyarakat Asajaya. Selain itu, Ruang Tenang, iaitu booth kesihatan mental dan klinik bergerak, turut disediakan sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan psikologi dan fizikal masyarakat, selari dengan fokus disiplin Psikologi serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Good Health and Well-Being.

Di samping subprogram berasaskan identiti budaya dan inisiatif kesihatan, pelbagai aktiviti lain turut menceriakan suasana program seperti Aktiviti Riuh Ria Sukaneka, Mini Uptown Asajaya, rewang komuniti, serta kemuncak program iaitu Konsert Rakyat yang menampilkan Haziq Rosebi sebagai artis jemputan. Pesta ini turut diserikan dengan Majlis Perasmian Penangguhan Pesta Ambal Asajaya yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN N.15 Asajaya. Majlis tersebut berlangsung pada malam sebelum Konsert Rakyat, sekitar jam 8.00 hingga 9.00 malam.

Melalui pelaksanaan projek SULAM ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan teori dan kemahiran psikologi yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam konteks sebenar masyarakat. Secara keseluruhannya, potensi pelajar Psikologi telah berkembang secara signifikan apabila kemahiran yang diperoleh bukan sahaja terhad kepada aspek psikologi, malah merangkumi kepimpinan, pengurusan projek, perhubungan luar, komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan empati sosial.

Dari sudut impak komuniti, Pesta Ambal Asajaya berjaya mengukuhkan jaringan sosial, menyemarakkan semangat kebersamaan serta membuka peluang penjanaan pendapatan kepada peniaga dan usahawan tempatan melalui Mini Uptown Asajaya. Penganjuran ini turut menyokong aspirasi pembangunan mampan selaras dengan SDG 8 (Decent Work and Economic Growth), SDG 11 (Sustainable Cities and Communities), SDG 12 (Responsible Consumption and Production) serta SDG 17 (Partnerships for the Goals).

Secara keseluruhannya, kejayaan Pesta Ambal Asajaya membuktikan bahawa integrasi pembelajaran berasaskan komuniti melalui pendekatan SULAM bukan sahaja berupaya membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosial, pemeliharaan warisan budaya dan pembangunan ekonomi komuniti secara lestari.

Laporan oleh:
Nur Hafizah binti Jeffery
Ketua Jawatankuasa Media dan Publisiti