January 6, 2026

Kota Samarahan, 5 Januari 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengetengahkan penyelidikan penting yang diterajui oleh Dr Wan Sofiah Meor Osman dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), melibatkan kajian perintis mengenai pendokumentasian identiti Batik Perak sebagai strategi kelestarian ekopelancongan.  Penyelidikan ini dibiayai oleh Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) Perak dan memfokuskan kepada pendokumentasian serta pemahaman mendalam tentang motif bunga kelumpang, iaitu bunga tradisi Perak yang kaya dengan nilai seni dan sejarah.

Bunga Kelumpang

Sebagai ketua penyelidik, Dr Wan Sofiah menjalankan kajian bertajuk “Identiti dan Simbolisme Bunga Kelumpang dari Sudut Nilai Falsafah dan Budaya Seni Batik Perak.” Kajian beliau menonjolkan bagaimana masyarakat terdahulu menggunakan seni sebagai cerminan identiti, kepercayaan, dan kesinambungan budaya.

Kajian ini turut dijalankan bersama dua penyelidik lain, iaitu Dr Wan Robiah Meor Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Madya Dr Anida Sarudin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pasukan penyelidik ini saling melengkapi dalam meneliti aspek sejarah, manuskrip lama dan perkembangan motif kelumpang dalam konteks kontemporari, menjadikan kajian ini antara usaha ilmiah paling komprehensif mengenai warisan batik Perak.

Secara ringkasnya, sehingga 3 Jun 2025, hasil kajian mendapati bahawa bunga kelumpang ialah bunga tradisi negeri Perak. Pemilihan bunga kelumpang sebagai bunga identiti negeri Perak bagi reka corak batik memperlihatkan kesinambungan warisan daripada generasi lama kepada generasi baru. Motif bunga tradisi ini terserlah menerusi ukiran-ukiran di Perak, iaitu di istana, mimbar masjid dan keris lama. Bunga ini telah menjadi identiti masyarakat di Perak sejak zaman dahulu lagi. Oleh itu, bunga tradisi warisan bangsa ini perlulah dipelihara dengan pelbagai inisiatif antaranya adalah dengan memperkenalkannya kepada khalayak khususnya generasi muda dan mempergiatkan penanamannya demi melestarikan ekosistem.

Gambar di Masjid Al-Badr Seribu Selawat

Kajian tentang pendokumentasian identiti Batik Perak dengan kerjasama khususnya pihak MB Inc. Perak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Perak) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak ini merupakan kajian perintis dalam meneliti bunga kelumpang menerusi aspek sosiobudaya masyarakat negeri Perak. Pengkomersialan Batik Perak ini, selain berupaya menjana pendapatan komuniti setempat ia turut memartabatkan warisan budaya negeri ke peringkat antarabangsa yang secara tidak langsung dapat memperkenal dan melestarikan ekopelancongan negeri Perak.

Kajian ini turut mendapat perhatian media nasional, sekali gus memperkukuh kepentingan penyelidikan ini kepada masyarakat. Liputan Buletin Utama TV3 pada 20 September 2025, telah menonjolkan usaha para penyelidik menjejak semula kedudukan bunga kelumpang dalam seni dan identiti Batik Perak. Manakala 8TV Mandarin News pada 21 September 2025 pula menyiarkan laporan khas yang mengulas tentang nilai budaya dan potensi pelestarian motif tradisi tersebut. Seterusnya, Utusan Malaysia pada 21 September 2025 turut menyiarkan artikel bertajuk “Usaha Popularkan Semula Bunga Kelumpang Sebagai Identiti Negeri Perak”, yang mengetengahkan inisiatif menanam pokok bunga kelumpang di sepanjang Sungai Perak bagi mempopularkan semula tumbuhan tersebut. Laporan itu turut menyebut bahawa sebahagian besar masyarakat Perak sendiri tidak menyedari bahawa bunga kelumpang sebenarnya sudah lama menjadi motif dalam seni bina warisan negeri.

 Rujukan liputan boleh diakses melalui pautan berikut:

Usaha yang diterajui oleh FSKPM UNIMAS ini membuktikan bahawa penyelidikan akademik mampu memberi kesan langsung kepada masyarakat dan pemuliharaan warisan negara. UNIMAS merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Wan Sofiah dan pasukan penyelidik atas dedikasi mereka dalam mengangkat Batik Perak sebagai warisan seni yang bukan sahaja indah, tetapi juga sarat dengan nilai dan sejarah yang perlu dirai serta dipelihara.

Ketua Penyelidik UNIMAS: Dr Wan Sofiah Meor Osman

Kredit Foto: Gambar-gambar ihsan Mohd Rizanizam Razali dan Wan Adnawani Meor Osman