January 7, 2026


Pada 10 Disember 2025, pelajar-pelajar Kursus PPD1041 Kemahiran Insaniah dan Kesukarelawan (Kumpulan 14) seramai 34 orang telah melaksanakan projek sukarelawan bertajuk “Semaikan Bakti, Hijaukan UNIMAS: Penanaman Pokok Kelat Paya.”  Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar di samping memupuk nilai kerjasama, tanggungjawab sosial dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Projek ini dilaksanakan di bawah seliaan Dr Wan Sofiah Meor Osman dengan dibantu oleh Encik Rosdi Japar, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia yang mendapat kerjasama daripada Encik Ngerantar anak Undi, Timbalan Pengarah (Teknikal dan Penyelenggara), Pejabat Pembangunan, UNIMAS bersama dengan staf beliau yang turut hadir di lapangan sebagai pembimbing-pembimbing landskap.

Menurut Saudari Agnes Lau Chien Yee, Ketua Projek, pemilihan Pokok Kelat Paya (Eugenia Papillosa Duthie), dibuat kerana cirinya yang tahan lasak, mudah dijaga dan mampu meningkatkan kualiti udara. Pokok Kelat Paya juga merupakan tumbuhan landskap yang sering digunakan untuk tujuan penghijauan.  Sebagai spesies tempatan, pokok ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kualiti udara, malah menjadi simbol komitmen mahasiswa terhadap pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.


Sesi taklimat ringkas tentang kaedah penanaman, penjagaan tumbuhan, serta kepentingan amalan hijau dalam kehidupan seharian telah disampaikan oleh Encik Asri Sudin selaku Pembimbing Landskap. Selain aktiviti penanaman, pelajar-pelajar turut mengadakan sesi refleksi bagi menilai pencapaian diri dari aspek kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kerjasama kumpulan, pengurusan masa dan kepimpinan. Pengalaman ini memberi peluang kepada semua ahli untuk terlibat secara aktif, menggalakkan rasa empati terhadap isu alam sekitar serta memupuk semangat sukarelawan.



Projek “Penanaman Pokok Kelat Paya” ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif hijau oleh pelajar-pelajar pada masa akan datang. Usaha kecil ini turut disokong oleh Puan Shaziti Aman, Penyelaras Kursus PPD1041 Kemahiran Insaniah dan Kesukarelawan kerana ia mampu memberi impak besar jika dilakukan secara berterusan. Dengan terlaksananya projek ini diharap dapat menyemarakkan budaya lestari dalam komuniti kampus sekaligus menyumbang ke arah pembentukan persekitaran UNIMAS yang lebih hijau, sihat dan harmoni.


Laporan oleh:

Nur Ain Hazemi

Ketua Jawatankuasa Media dan Publisiti

Kredit Foto: Gambar-gambar adalah ihsan Nicoldamus Rantai Anak Seligi