January 6, 2026
54826723209_2a9df7e315_c

KOTA SAMARAHAN – Di sebalik kecemerlangan akademik, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) percaya bahawa kesejahteraan emosi, fizikal dan kebajikan mahasiswa adalah nadi utama yang menggerakkan kecemerlangan sesebuah universiti. Melalui laporan strategik “Kesejahteraan Mahasiswa UNIMAS: Sinergi Dasar, Sistem Sokongan dan Suara Pelajar”, universiti komited memastikan tiada pelajar yang terpinggir di sepanjang tempoh pengajian mereka di UNIMAS.

UNIMAS menegaskan bahawa kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan institusi dan ditangani secara menyeluruh, bukan bersifat reaktif atau terasing. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan merangkumi sokongan kesihatan mental, perumahan selamat dan mampu milik, akses makanan berpatutan, penambahbaikan fasiliti kampus serta bantuan kewangan dan peluang pekerjaan dalam kampus bagi membantu mahasiswa menghadapi cabaran kos sara hidup terutama kepada para pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan dan dari luar bandar.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, “UNIMAS meletakkan keutamaan kebajikan mahasiswa sebagai amanah institusi. Setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan adalah berpaksikan keperluan sebenar pelajar, termasuk sokongan mental, kewangan dan sosial. Kami sentiasa memperkukuh sistem sokongan melalui libat urus bersama mahasiswa, penambahbaikan berterusan dan pendekatan yang berempati serta berimpak.”

Beliau menambah bahawa UNIMAS turut menyediakan platform digital yang mudah digunakan untuk memastikan suara pelajar dapat didengar melalui sistem e-Aduan Siswa serta sokongan digital kesejahteraan tanpa stigma, di samping kerjasama strategik dengan agensi luar. Pendekatan bersepadu ini memastikan kehidupan kampus yang selamat, inklusif dan kondusif, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya tahan.

Jiwa Sejahtera: Melangkaui Bilik Kuliah

Menyedari cabaran kesihatan mental yang semakin kompleks, UNIMAS telah menggerakkan inisiatif pemerkasaan emosi secara menyeluruh. Melalui perkhidmatan kaunseling profesional dan program inovatif seperti Take A Break with PsyCon serta Buddy2Buddy, universiti membina sistem sokongan rakan sebaya yang kuat.

“Kami mahu mahasiswa tahu bahawa mereka tidak sendirian. Pendekatan ‘reach out’ melalui Jelajah Kampus adalah bukti kami ingin meruntuhkan tembok stigma dan mendekati pelajar di ruang selesa mereka,” menurut Prof Dr Ahmad Hata.

Inovasi Digital dan Kebajikan Fizikal

UNIMAS kini dalam fasa transformasi digital agenda kebajikan pelajar melalui pembangunan Sistem PsyTrack dan UNIMAS Student Wellbeing Index (UNIMAS SWI). Sistem ini berfungsi sebagai instrumen pengesanan awal bagi mengenalpasti pelajar yang berisiko, sekali gus membolehkan intervensi dilakukan dengan lebih pantas dan tepat.

Dari sudut fasiliti, universiti telah menaik taraf kolej kediaman dengan penyediaan Dapur HEPA dan Student Lounge. Inisiatif ini bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi strategi untuk membantu mahasiswa mengurus kos sara hidup dengan menyediakan makanan sendiri yang lebih sihat dan menjimatkan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada makanan siap yang yang kurang bernutrisi.

Sokongan Kewangan dan Mobiliti Sosial

Sepanjang tahun 2025, UNIMAS telah memperuntukkan komitmen sumber dan kewangan untuk agenda kesejahteraan pelajar telah dizahirkan melalui beberapa program seperti :

  • Program Job on Campus: Sejumlah RM42,000 telah diperuntukkan dalam memberikan peluang penjanaan pendapatan sampingan kepada 38 orang pelajar dari 2023 – 2024 di Arena Tun Tuanku Haji Bujang (AT2HB)
  • Bantuan Awal Pengajian dan Program Pembangunan Siswa Sulung: Peruntukan melebihi RM587,000 yang memanfaatkan lebih 470 penerima untuk menyokong kebajikan pelajar di dalam kampus. UNIMAS turut menerima sokongan dengan penglibatan dan kerjasama strategik dengan rakan strategik seperti Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan YAPEIM.
  • Skim Bantuan Deposit Rumah Sewa: Inisiatif universiti bagi membantu  meringankan beban mahasiswa yang tinggal di luar kampus untuk mendapatkan kediaman yang selamat dan kondusif.

Mendengar Suara Mahasiswa

UNIMAS tidak menutup mata terhadap cabaran operasi dan jurang proses pentadbiran dalam pelaksanaan dasar, ini termasuklah isu birokrasi dan tempoh menunggu bantuan. Sebagai langkah proaktif untuk memastikan keperluan mahasiswa mampu ditangani dengan telus, mudah diakses dan pantas, sistem E-Aduan Siswa telah diperkenalkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026.

“Kami mendengar keluhan mahasiswa. Penambahbaikan prosedur dan pemudahan dokumentasi kini menjadi keutamaan kami agar bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar mendesak tanpa kerenah birokrasi yang membebankan.”

Sinergi Antara Universiti dan Mahasiswa

Melalui pendekatan bottom-up, UNIMAS memastikan setiap keputusan berkaitan dengan kebajikan mahasiswa perlu melibatkan suara mahasiswa sendiri melalui kolaborasi antara Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar  (TDHEPA) Fakulti, Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Majlis Perwakilan Pelajar. Sinergi ini memastikan dasar yang dirangka bukan sekadar di atas kertas, tetapi benar-benar berpijak di bumi nyata dengan memastikan suara mahasiswa didengar secara langsung, difahami dan resolusi yang mencerminkan keperluan sebenar pelajar.

Melahirkan Graduan Yang Sejahtera dan Berdaya Saing

Agenda besar kebajikan pelajar UNIMAS mencerminkan komitmen universiti untuk memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terjaga dengan pendekatan yang lestari, selari dengan pembangunan modal insan negara.

Tuntasnya, agenda kebajikan mahasiswa UNIMAS bukan sekadar satu tanggungjawab, ianya merupakan komitmen universiti untuk mendaya upaya potensi setiap mahasiswa. Dengan meletakkan agenda kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan universiti, UNIMAS yakin dapat membentuk graduan yang yang berjiwa besar dan mampu menyumbang bakti kembali kepada komuniti dan pembangunan negara.

Dengan sistem sokongan kebajikan mahasiswa yang berstruktur dan berimpak, UNIMAS percaya ianya akan membantu melahirkan bukan sahaja graduan yang cemerlang dalam aspek akademik, malah graduan yang cekal, sejahtera dan berdaya tahan dalam menangani isu dan cabaran semasa serta bersedia membawa transformasi positif kepada komuniti global.