December 16, 2025

Kota Samarahan, 10 Disember 2025 — Atrium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UNIMAS dipenuhi pelajar dan komuniti kampus melalui program kebajikan From Wardrobe to Warmth, iaitu inisiatif pemberian barangan preloved secara percuma.

Di bawah seliaan penasihat Dr. Siti Zaleha Raduan, program ini menghimpunkan pelbagai barangan seperti pakaian, beg dan kasut yang disumbangkan warga universiti dan juga orang luar. Semua barangan dipamerkan secara terbuka bagi membolehkan penerima memilih mengikut keperluan masing-masing.

Menurut jawatankuasa penganjur, program ini bertujuan membantu meringankan beban pelajar dan komuniti kampus selain menggalakkan budaya perkongsian serta kesedaran terhadap kelestarian. Seramai lebih kurang 124 penerima hadir sepanjang program berlangsung.

“Program ini bukan sahaja dapat membantu dari segi keperluan asas, tetapi juga memupuk nilai empati dan semangat komuniti dalam kalangan warga UNIMAS,” ujar salah seorang wakil penganjur.

Keseluruhan perjalanan program berjalan lancar dengan kerjasama jawatankuasa logistik dan peralatan, multimedia, keselamatan serta tugas-tugas khas yang memastikan tapak pameran teratur, selamat dan kondusif untuk aliran peserta.

Inisiatif seperti From Wardrobe to Warmth diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk menyokong kesejahteraan pelajar dan membudayakan amalan hijau di kampus.