Disediakan oleh Siti Nasuha Singki dan Mohamad Junaidi Mohamad Tamini
KOTA SAMARAHAN, 29 November 2025 – Seramai 90 siswa-siswi Program Pendidikan Islam, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS berjaya menganjurkan Projek Service-Learning Malaysia (SULAM) berimpak tinggi yang buat julung kalinya di Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila, Kota Samarahan.
Program bertema “Transformasi Masyarakat dan Masjid Komuniti Berilmu” ini telah menarik minat seramai 28 orang dewasa dan 57 orang kanak-kanak daripada komuniti Kampung Empila. Kehadiran ramai ini sekali gus mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
Projek SULAM yang diadakan setiap semester, telah menjadi inisiatif komuniti UNIMAS berterusan yang diharapkan dapat memupuk semangat kesukarelawanan serta budaya menyumbang kepada komuniti dalam kalangan pelajar universiti. Sehubungan dengan itu, Projek SULAM di Masjid Darul Sabirin telah dirancang dengan pelbagai pengisian menarik untuk mencapai matlamat kesukarelawanan dalam kalangan siswa siswi UNIMAS.

Sebelumnya, beberapa wakil pelajar Program Pendidikan Islam FPBK telah mengadakan dua siri perbincangan muhibah dengan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Sabirin yang antara lain bagi merapikan perjalanan program selain membincangkan perkembangan projek.
Menurut Ketua Projek, Siti Nasuha binti Singki, Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Program SULAM ini merupakan satu platform berimpak tinggi yang dilihat mencerminkan pencapaian cemerlang, terutama dalam memperkukuh jalinan mesra antara pelajar UNIMAS dan komuniti Kampung Empila.
Sebanyak empat pengisian interaktif dan berfokus telah berjaya dilaksanakan, iaitu Praktikal Ibadah Solat Sempurna, Sinar Cilik Iqra’ dan al-Quran Kanak-Kanak, Gotong-Royong Persekitaran Masjid, serta Pameran Booth: Ekspo Pendidikan Fiqh.
Ujarnya lagi, pendekatan praktikal dan mesra komuniti ini membolehkan penduduk kampung bukan sahaja terlibat secara aktif, malah peserta kanak-kanak menunjukkan mulai sedar tentang kepentingan mempertingkatkan kefahaman ilmu dan sekali gus kualiti ibadah harian mereka.




Beliau turut berharap penganjuran projek berimpak tinggi seperti ini dapat terus mengukuhkan hubungan strategik yang mampan antara UNIMAS dan komuniti setempat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 17 iaitu tentang Perkongsian untuk Matlamat. Selain itu, seiring dengan semangat SDG 4: Pendidikan Berkualiti, khidmat komuniti berterusan sebegini sentiasa menjadi keutamaan penting UNIMAS. Program turun padang ini juga ujarnya diharap dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak mulia dan berintegriti.
Menuju ke arah kedua-dua matlamat besar tersebut, UNIMAS akan terus komited terhadap kerjasama erat antara institusi pendidikan dengan masyarakat luar bandar.

Dalam majlis penangguhan, Pengerusi Masjid Darul Sabirin, Encik Rahman bin Raduan, menzahirkan setinggi-tinggi harapan agar UNIMAS meneruskan program berimpak tinggi seperti kerana dilihat sangat berkesan dalam menyebarluaskan ilmu asas agama yang lebih mendalam kepada komuniti. Pada akhir ucapannya, beliau turut berharap agar pelbagai bentuk jalinan kerjasama strategik lain akan dapat diterokai antara UNIMAS dan komuniti Kampung Empila.