- FPBK UNIMAS bersama-sama DS Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dalam usaha giat membuka kursus Bahasa Melayu di beberapa universiti di China, Jerman dan Jepun
- Setakat ini terdapat 12 institusi menyediakan kursus Bahasa Melayu di China sahaja
KOTA SAMARAHAN, 11 Nov — YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr Awang Sariyan menzahirkan keyakinan tinggi bahawa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) mampu muncul sebagai pusat kecemerlangan bahasa terunggul di rantau ini kelak.
Keyakinan itu disandarkan pada pelbagai strategi dan inisiatif sedia ada serta yang akan terus diperkasakan bagi memperluas penawaran pengajian, penyelidikan dan penerbitan akademik bidang bahasa, pendidikan dan komunikasi.

“FPBK dan saya kini sedang dalam perbincangan intensif untuk membuka ruang kolaborasi bersama institusi pengajian antarabangsa di China, Jerman dan Jepun yang menawarkan kursus Bahasa Melayu. Setakat ini, terdapat 12 institusi di China yang menawarkan kursus Bahasa Melayu, dan saya yakin UNIMAS boleh membuka pengajian Bahasa Melayu di sana,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan Syarahan Profesor Adjung bertajuk “Peranan Bahasa dalam Pembinaan Tamadun” di UNIMAS pagi ini. Antara lain beliau turut menegaskan peri pentingnya bahasa sebagai asas pembentukan konsep diri manusia, pengilmuan, perantaraan perhubungan sosial serta pewarisan peradaban.

Mengulas potensi Sarawak sebagai ekosistem strategik pengembangan ilmu bahasa, beliau berkata; “Kekuatan Sarawak dari segi bahasa ialah kekayaan bahasa etnik dan suku yang perlu dipertahankan dan dilestarikan” katanya ketika menjawab soalan pelajar Camelia Nazwa, 21.

Menjawab pertanyaan Esther Shannen, 21, beliau menitipkan pesanan kepada mahasiswa FPBK agar mengoptimumkan pembelajaran di luar kuliah melalui budaya menulis dan kelompok belajar kecil.
“Kuliah tidak mungkin mencakupi seluruh ilmu. Jadi yang terbaik adalah berkongsi dalam kumpulan belajar kecil… Selain itu, pelajar-pelajar bahasa kena menulis. Menulislah akan menjadi amalan iaitu ilmu apabila kita tiada. Bila kita selalu menulis, ia akan jadi keseronokan. Paling penting, sambil berkongsi ilmu”
Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan.
Dalam ucapan penangguhan, Dekan FPBK, Dr Dilah Tuah menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi memulakan penulisan di majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya dan Dewan Kosmik.
Inisiatif itu bukan sahaja berpotensi memberikan honorarium sebagai pendapatan samping pelajar, malah pelajar berpeluang diiktiraf dengan penulisan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dilantik sebagai Profesor Adjung FPBK sejak Mei 2025. Dalam kenyataan pelantikan, fakulti yakin kepakaran akademik serta jaringan kepimpinan intelektual beliau akan membantu memperkembang kerjasama strategik UNIMAS dengan institusi tempatan dan antarabangsa.
Foto oleh Encik Dabif Jack Shaw