Disediakan oleh : Alexander Anak Augustin, Collins Dexter Anak Bial, Clarriesa Fay Anak Arther James Collin, Alyatus Batrisyia Binti Mohammad Jasni, Nur Aleeya Syarianie Binti Ini
LUMUT, 23 OKTOBER 2025 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh komitmen dalam melestarikan seni dan warisan budaya tempatan melalui penyertaan aktif dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11, yang berlangsung di Lumut, Perak. PULARA 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi wadah mempertemukan seniman, ahli akademik dan pelajar dari seluruh negara bagi meraikan keindahan seni dan bahasa di peringkat antarabangsa.
UNIMAS merupakan salah satu daripada 24 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dijemput khas menyertai festival berprestij ini, dengan menghantar 17 orang perwakilan pelajar daripada Badan Budaya UNIMAS (BAYU) dan pelajar Program Linguistik Tahun Akhir, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK).

Pelajar FPBK Tahun Akhir yang berpeluang menghadiri Festival PULARA Ke-11 bermula 24-26 Oktober 2025
Gerai pameran UNIMAS mencuri tumpuan pengunjung dengan keunikan seni tenunan Sarawak seperti songket dan kain keringkam, model rumah Melayu tradisional, serta alat muzik tradisional seperti Gambus Lebor. Setiap hasil seni yang dipamerkan bukan sekadar memperlihatkan keindahan estetik, tetapi turut menzahirkan nilai komuniti dan identiti tempatan yang menjadi teras kepada pendidikan warisan di UNIMAS.


Pelajar FPBK Tahun Akhir berkongsi maklumat mengenai warisan budaya Sarawak kepada pengunjung yang mengunjungi gerai pameran
Selain mempamerkan warisan budaya, pelajar FPBK turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti kesusasteraan seperti deklamasi puisi, persembahan lagu rakyat dan bengkel sastera dan warisan, yang membuka ruang pembelajaran interaktif dengan tokoh-tokoh sastera ternama. Antara pengalaman berharga ialah sesi temu bual santai bersama Sasterawan Negara Ke-15, Datuk Rahman Shaari, yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneruskan minat dalam bidang penulisan dan seni persembahan.
Melalui pengalaman langsung dalam festival ini, pelajar mengasah kecekapan komunikasi, pembelajaran kontekstual dan memperkukuh kesedaran global tentang kepentingan pendidikan budaya dan pemeliharaan warisan. Pengalaman di PULARA bukan sekadar peluang beraksi di pentas nasional tetapi juga menjadi ruang untuk memupuk semangat perpaduan dan kebanggaan terhadap seni budaya Borneo.

Penglibatan warga akademia dalam Festival PULARA ke-11 membuktikan bahawa seni dan budaya terus mendapat tempat di hati generasi muda serta ahli ilmuwan
Majlis perasmian festival tiga hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, dengan kehadiran tokoh-tokoh sastera negara seperti Datuk Dr. Zurinah Hassan (Sasterawan Negara Ke-13) dan Datuk Rahman Shaari, yang turut mempersembahkan deklamasi puisi khas.
Penyertaan UNIMAS dalam Festival PULARA 2025 membuktikan bahawa seni, budaya dan sastera terus mendapat tempat di hati generasi muda serta ahli akademia. Inisiatif sebegini juga memperkukuh jalinan antara universiti, masyarakat, dan institusi seni nasional dalam memperkasa budaya Nusantara di peringkat antarabangsa.