October 22, 2025
Kemasyur1

Sebagai langkah proaktif dalam mendukung nilai kelestarian dan kebajikan haiwan, Kelab Khidmat Masyarakat Bunga Raya (KHIMASYUR) telah menganjurkan program Paw Talk: Animal Love, Animal Care pada hari Ahad, 12 Oktober 2025, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Kolej Bunga Raya, UNIMAS. Program ini menjadi pembuka tirai kepada inisiatif Giving Back To Nature 2.0, yang bertujuan menyemai semangat kasih sayang terhadap haiwan serta meningkatkan kesedaran tentang kebajikan dan keselamatan haiwan dalam kalangan pelajar universiti.

Sesi perkongsian istimewa ini menampilkan Datin Dona Drury-Wee, Presiden Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA), seorang tokoh terkemuka dalam bidang kebajikan haiwan di Sarawak. Beliau dikenali atas dedikasinya memperjuangkan hak dan perlindungan haiwan, termasuk usaha dalam program pemandulan dan pengebirian (spay & neuter), kempen kesedaran rabies, serta pembangunan Animal Village, iaitu pusat kebajikan haiwan yang bakal menempatkan klinik rawatan kos rendah, pusat pendidikan, serta taman interaktif untuk haiwan peliharaan.

Dalam perkongsiannya, Datin Dona menekankan pentingnya pendidikan, empati, dan tanggungjawab sosial dalam menangani isu kebajikan haiwan. Beliau turut berkongsi pengalaman sebenar sebagai aktivis barisan hadapan dalam menghadapi wabak rabies di Sarawak serta usaha berterusan SSPCA untuk meningkatkan kesedaran awam dan mengurangkan populasi haiwan terbiar dengan cara yang beretika.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar, dengan penyertaan aktif serta sesi soal jawab yang interaktif bersama penceramah. Para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu baharu mengenai kebajikan haiwan, malah turut membuka mata terhadap peranan individu dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang. Sebagai tanda penghargaan, peserta turut menerima merit kolej atas penglibatan mereka dalam program ini.

Program ini dijalankan di bawah bimbingan Puan Nor Safura binti Mahari, selaku Felo Penasihat Kelab KHIMASYUR, dan diterajui oleh Felex anak Nyambong sebagai Pengarah Program. Pelaksanaan program ini turut disokong oleh barisan jawatankuasa pelajar yang komited dalam memastikan setiap aktiviti berjalan dengan lancar dan berimpak positif.

Melalui penganjuran program ini, Kelab KHIMASYUR berharap dapat terus memupuk nilai empati, kasih sayang, serta tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan dalam kalangan pelajar UNIMAS, seiring dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang berjiwa sukarelawan dan berperanan aktif dalam komuniti.

Disediakan oleh:
Amirahtul Nurulhuda binti Latif
Pembantu Felo Penasihat Kelab KHIMASYUR