
Alhamdulillah, pada 19 Oktober 2025 (Ahad), telah berlangsung Program “Bicara Jiwa, Semera Lestari” bersempena Projek Kampung Angkat Madani 2025, bertempat di Kampung Asajaya, Sarawak. Program ini merupakan anjuran bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan seksualiti dan reproduktif dalam kalangan remaja, di samping pendidikan keibubapaan berkaitan komunikasi seksualiti bagi golongan ibu bapa. Turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun bagi menggalakkan penglibatan komuniti secara menyeluruh.
Antara penceramah dan fasilitator yang dijemput bagi menjayakan program dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan ini ialah Profesor Madya Dr. Ang Ai Ling, Dr. Mohammed Rasheedan Ellin dan Dr. Rosalia Saimon. Turut berganding bahu adalah pensyarah-pensyarah daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr. Surena Sabil, Profesor Madya Dr. Zaiton Hasan dan Profesor Madya Dr. Nur Fatihah Abdullah Bandar.

Turut diundang adalah Dr. Iman Meor Yaacob dan Dr. Ahmad Harith Zainuddin, pegawai perubatan dan jurulatih ReproAlert I-Medik, Encik Mohd Hasbullah Mood, Pegawai Atlet Muay Thai Sarawak, dan Encik Farid Bujang daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Program juga digerakkan pelajar tahun 4 program Sarjana Muda Kejururawatan, pelajar program Kedoktoran Kesihatan Awam dan Kedoktoran Sains Kognitif & Pembangunan Manusia.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk ceramah, aktiviti berkumpulan, permainan interaktif serta latihan lakon peranan (role play) bagi ibu bapa, yang semuanya bertujuan meningkatkan kefahaman dan kemahiran komunikasi berkaitan isu kesihatan reproduktif dan seksualiti dalam keluarga.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dr. Helmy Hazmi, Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, yang turut memberikan sokongan dan dorongan kepada para peserta serta penganjur.

Program ini diharap dapat menyemai kesedaran dan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan pendidikan seksualiti berasaskan nilai dan tanggungjawab dalam kalangan remaja serta ibu bapa di komuniti Kampung Semera, Asajaya.
