Seramai 183 orang pelajar Tahun 1 Program Sains Kognitif, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah berpeluang menyertai Bengkel Literasi Kecerdasan Buatan (AI) yang berlangsung pada 18 Oktober 2025 (Sabtu) di Dewan Seminar PITAS.
Program ini dianjurkan bersempena Hari Akademia 2025 yang bertemakan “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi”. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai kepentingan teknologi AI dalam bidang pendidikan serta kehidupan seharian.

Sepanjang bengkel, pelajar diperkenalkan kepada topik menarik seperti machine learning dan deep learning. Mereka turut didedahkan dengan pelbagai aplikasi AI yang relevan dalam konteks pendidikan. Aspek etika dan tanggungjawab dalam penggunaan AI juga diberi penekanan agar pelajar lebih peka terhadap implikasi sosial dan moral teknologi tersebut.
Bengkel ini dikendalikan oleh Ts. Dr. Mohammad Nur Azhar Mazlan, Pensyarah Kanan FSKPM dan AI for Good Certified Trainer (AI Singapore). Dengan gaya penyampaian santai serta interaktif, beliau berjaya menarik perhatian pelajar untuk memahami konsep AI melalui demonstrasi dan aktiviti hands-on.
Menurut Ts. Dr. Mohammad Nur Azhar, pendedahan awal sebegini penting untuk membantu pelajar melihat perkaitan antara bidang Sains Kognitif dan Kecerdasan Buatan, sekali gus membina asas kefahaman yang kukuh untuk pembelajaran di peringkat lebih tinggi.

Bengkel ini bukan sahaja berjaya mencetuskan minat pelajar terhadap teknologi AI, malah menggalakkan mereka berfikir secara kreatif dan kritikal dalam meneroka potensi AI pada masa depan. Usaha ini juga seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dalam melahirkan generasi muda yang celik teknologi serta bersedia menghadapi cabaran era digital.
Artikel ini disumbangkan oleh Ts. Dr. Mohammad Nur Azhar Mazlan