August 22, 2025
IMG_4977

KUCHING, 22 Ogos 2025 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang apabila berjaya disenaraipendek ke Anugerah Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) 2025, bagi Kategori Badan Berkanun Persekutuan Sarawak. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UNIMAS dalam memperkasa amalan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah tadbir urus yang cekap, telus dan berinovasi.

Bersempena dengan penilaian akhir tersebut, satu sesi Lawatan Tapak Penilaian AKPANS 2025 telah diadakan di kampus UNIMAS pada 22 Ogos 2025. Lawatan ini bertujuan menilai secara langsung pelaksanaan inisiatif strategik, amalan terbaik serta pendekatan inovatif yang telah digariskan oleh universiti dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga kampus dan masyarakat umum.

Perwakilan rasmi UNIMAS bagi sesi penilaian tersebut telah diketuai oleh Prof. Madya Ts. Noraziah Datuk Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian), dan disertai oleh Prof. Dr. Abdul Halim Busari, Pengarah Pusat Kepimpinan Universiti, serta Profesor Gs. Dr. Tarmiji Masron, Pengarah Pusat Perancangan Strategik, Pengurusan Kualiti dan Risiko. Delegasi ini turut diiringi oleh barisan staf pengurusan dan profesional UNIMAS yang memainkan peranan penting dalam menyokong proses penilaian melalui perkongsian kepakaran, penyediaan dokumentasi komprehensif, pelaksanaan inisiatif penambahbaikan, serta pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi yang menjadi teras kecemerlangan institusi.

Panel penilai yang hadir terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang produktiviti, pentadbiran awam dan pembangunan strategik. Mereka ialah Dr. Mazlina binti Shafi’i, Pengarah Malaysia Productivity Corporation Wilayah Sarawak selaku Ketua Panel; Datu Nicholas Sia, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak; Puan Samai Anak Bajan, Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak; serta Encik Mohamad Abdul Kadir Johari, Pengarah Urusan, Ariestar Training Services.

Lawatan ini bukan sahaja menjadi medan penilaian, malah turut membuka ruang dialog strategik antara UNIMAS dan panel penilai mengenai pendekatan inovatif dalam penyampaian perkhidmatan awam. Secara keseluruhan, sesi ini memperkukuh lagi komitmen UNIMAS dalam menjunjung nilai integriti, inovasi dan kecemerlangan, selaras dengan aspirasi Sarawak sebagai negeri yang berdaya saing, berdaya cipta dan berimpak tinggi.

Diselaraskan oleh Pusat Kepimpinan Universiti (ULC) selaku Urusetia Lawatan Tapak Penilaian AKPANS 2025 UNIMAS.