August 8, 2025
IMG_0802

NIAH, 2 OGOS 2025 – Sempena ulang tahun pertama pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan satu program khidmat komuniti berimpak tinggi bertempat di Taman Negara Niah, Miri.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) sebagai satu inisiatif menyatukan institusi akademik dan masyarakat tempatan dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta ekosistem warisan negara.

Bertemakan “Co-guardians of Niah National Park through Citizen Science”, program ini mengetengahkan peranan aktif komuniti tempatan dalam pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan sains rakyat (citizen science). Turut diadakan ialah aktiviti pendidikanyang melibatkan pelajar dari empat buah sekolah di sekitar Taman Negara Niah.

Penganjuran program ini berteraskan kepada empat objektif utama. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang prinsip-prinsip ekologi serta faedah yang diperoleh daripada kepelbagaian biologi kepada manusia. Selain itu, program ini juga bertujuan menyemai rasa cinta dan penghayatan terhadap alam sekitar sebagai satu aspek penting dalam memastikan kekayaan biotik negara digunakan secara lestari tanpa mengakibatkan kemusnahan. Di samping itu, peserta turut diberi kefahaman langsung tentang pernyataan peruntukan kuasa dan undang-undang yang berkaitan dengan pemeliharaan biodiversiti serta tanggungjawab agensi yang terlibat. Tidak kurang pentingnya, program ini juga membuka ruang kepada komuniti untuk menikmati persekitaran yang lebih ceria dan selesa, khususnya dengan memastikan sungai di kawasan kampung kekal bersih dan bebas daripada pencemaran.

Sambutan masyarakat setempat amat memberangsangkan, dengan kehadiran seramai 133 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan, wakil-wakil komuniti seperti Tuai Rumah, Penghulu dan Kapitan, serta guru dan pelajar sekolah yang menyatakan sokongan padu terhadap program seumpama ini.

IBEC optimis bahawa penganjuran berterusan program komuniti seperti ini bukan sahaja mampu mempererat hubungan antara universiti dan masyarakat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin kelestarian biodiversiti negara, khususnya di kawasan warisan dunia yang diiktiraf seperti Taman Negara Niah.