August 2, 2025

Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (FPBK) UNIMAS dengan jayanya telah mengadakan Program Kolaboratif Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu Pelajar Tingkatan 5 hasil kerjasama erat Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan dan empat buah Sekolah Menengah di daerah tersebut. Program dilaksanakan sebagai salah satu program rintis hasil daripada kunjungan hormat PPD Simunjan yang berhasrat mengadakan jalinan strategik bersama FPBK. Jalinan strategik berkenaan menggariskan tiga kesepakatan utama antara FPBK dengan PPD Simunjan antaranya;

  • menjalin kerjasama dan melaksanakan perkongsian kepakaran secara pintar dalam aspek pengoperasian serta pelaksanaan gerak kerja dalam bidang pendidikan;
  • meningkatkan tahap kecemerlangan dan keberkesanan pengurusan serta pentadbiran dalam kedua-dua organisasi melalui amalan terbaik yang dikongsi secara bersama; dan
  • mewujudkan ruang perkongsian ilmu, idea, kreativiti dan inovasi yang dapat memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan di daerah ini

Program kolaboratif yang berlangsung satu hari itu melibatkan seramai 118 orang pelajar tumpuan khas prestasi Bahasa Melayu daripada empat buah sekolah iaitu SMK Simunjan No 1, SMK Gedong, SMK Sebuyau dan SMK Sri Sadong. Pelajar tersebut telah dibimbing secara khusus oleh tujuh orang guru bahasa FPBK, 17 orang guru bahasa PPD Simunjan bersama-sama 20 orang fasilitator daripada kalangan siswa-siswi UNIMAS.

Hasrat utama program adalah untuk membantu pelajar Tingkatan 5 khususnya melalui pendedahan teknik berfikir bagi menjawab soalan-soalan berbentuk KBAT. Aktiviti utama program merangkumi Ceramah Motivasi daripada Pakar Motivasi, Ceramah Teknik Berfikir. Keistimewaan pembelajaran ini adalah pelajar tidak hanya dibimbing dalam kumpulan kecil 14 orang, tetapi turut dapat belajar daripada pelbagai guru-guru berlainan sekolah.

YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit dalam ucapan perasmiannya, memuji program berbentuk kolaborasi ini dan wajar dijadikan contoh kerana berupaya memperkasakan komuniti melalui pendidikan

Ujar Naib Canselor UNIMAS itu lagi, hala tuju FPBK dalam sumbangan luar kampus adalah selari dengan aspirasi UNIMAS terkini iaitu Community Driven University for a Sustainable World. Ujarnya UNIMAS melalui FPBK sentiasa peka serta cakna terhadap cabaran dunia pendidikan dihadapi masyarakat, terutama komuniti luar bandar Sarawak. Melalui kepakaran akademik dan fasiliti yang ada, UNIMAS melalui FPBK dari semasa ke semasa akan terus terbuka untuk sebarang kerjasama dan menyantuni keperluan-keperluan sekolah-sekolah luar bandar.

Cik Eileen Jessie Ah Guan, berkata, JPN Sarawak percaya bahawa cabaran dihadapi di lapangan pendidikan terutama di Sarawak, pasti dapat diatasi dengan sumbangan kolektif dari universiti, komuniti serta agensi kerajaan.

Dalam pada itu, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Cik Eileen Jessie Ah Guan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyebut bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif pemerkasaan pendidikan komuniti oleh UNIMAS. Harapan JPN pada masa hadapan adalah usaha sebegini dapati diteruskan untuk menyampaikan pendidikan berkualiti, khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar luar bandar.

Bagi saya pengalaman belajar di UNIMAS merupakan pengalaman terbaik bagi saya. Sebelum-sebelum ini saya hanya dapat mendengar cerita-cerita dari sanak-saudara yang belajar di UNIMAS dan telah berjaya membantu keluarga. Namun dalam program ini saya sendiri berkesempatan untuk merasaikan suasana kampus, diajar dengan teknik dan strategi lain oleh guru-guru berlainan sekolah dan paling penting dapat menyuntik kembali semangat dalam diri saya untuk berjaya.

Augustine Luntu, SMK Sebuyau

Kejayaan program rintis ini membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah di Sarawak. Kedua-dua pihak komited untuk memperluaskan jaringan strategik dalam konteks perkongsian pengalaman, idea, kreativiti dan inovasi dalam pelbagai bidang pendidikan. Ke hadapan, kerjasama strategik ini akan menjurus kepada pengupayaan dan peningkatan kompetensi guru-guru luar bandar melalui perkongsian kepakaran bersama pakar-pakar pendidikan di FPBK.  

Program ini mendapat mendapat bantuan dan kerjasama daripada UNIMAS Bussines School, Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong, Pusat Khidmat DUN Simunjan dan Institut Perguruan Batu Lintang. Majlis dirasmikan oleh Prof Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit, Naib Canselor UNIMAS.  Turut hadir ialah Dr. Dilah Tuah, Dekan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi, Cik Eileen Jessie Ah Guan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran JPN Sarawak En. Hasbi Ancheh, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan; guru-guru SCIC+ PPD Simunjan dan pegawai akademik UNIMAS dan PPD Simunjan.