
BAU, SARAWAK – 25 Jun 2025 | Kampung Peros mencatatkan satu lagi kejayaan membanggakan apabila menjadi salah satu lokasi rasmi sempena Sesi Penilaian Lapangan UNESCO Global Geopark oleh wakil-wakil yang dilantik UNESCO. Dua penilai antarabangsa, Encik Jean-Simon Pagés dari Perancis dan Encik Antonio Garcia Jiminez dari Sepanyol, telah mengadakan lawatan bagi menilai kesediaan dan potensi kawasan ini ke arah pengiktirafan UNESCO.
Turut hadir dalam sesi penting ini ialah YBhg Datu Haji Hamden bin Haji Mohammad, Pengarah Hutan Sarawak merangkap Pengurus Geopark, Ms. Tessy anak Nimos dari Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, dan Ms. Madeline George Pau selaku Ketua Unit Pengurusan Geopark Sarawak. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diwakili oleh Koordinator SULAM Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif merangkap Ketua Projek Kampung Peros, Cik Noorhaslina Senin.











SULAM UNIMAS Pacu Transformasi Kampung Peros
Kampung Peros telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek service-learning (SULAM) oleh FSGK UNIMAS dari Oktober 2024 hingga Januari 2025. Projek ini melibatkan pelajar dan pensyarah daripada tiga program pengajian; Teknologi Seni Reka, Seni Halus, dan Sinematografi dalam usaha memperkasa komuniti melalui seni, promosi media sosial dan dokumentari.
Antara pencapaian penting yang telah dilaksanakan termasuklah pembangunan dan pengurusan laman Facebook rasmi Kampung Peros Tourism, pelaksanaan kempen promosi digital untuk lokasi pendakian Bung Podad yang semakin dikenali ramai, serta penghasilan dua dokumentari pendek yang mengetengahkan warisan budaya dan keindahan alam sekitar kampung. Lukisan mural yang dihasilkan oleh pelajar dan belia kampung turut memberi wajah baharu kepada ruang awam Kampung Peros.











Inisiatif Lanjutan Berskala Serantau
Kejayaan awal projek ini membuka ruang kepada pelaksanaan inisiatif susulan berskala lebih besar dan lebih mendalam melibatkan pelbagai pihak. Antara inisiatif penting ialah Kursus Videografi Smartphone yang dilaksanakan dengan kerjasama Pocket Production dan UNIMAS, dengan sokongan Jabatan Hutan Sarawak. Bengkel ini melibatkan 30 ahli komuniti, pelajar UNIMAS dari projek SULAM, dan lima wakil Sarawak Delta Geopark. Melaluinya, komuniti diberi latihan intensif untuk menghasilkan kandungan promosi digital secara kendiri yang satu keupayaan penting dalam memperkukuh keterlihatan Kampung Peros sebagai destinasi pelancongan lestari.
Selain itu, pada Februari 2025, program gotong-royong mural On Reciprocity dilaksanakan melalui kerjasama antara UNIMAS, Borneo Laboratory yang melibatkan artis antarabangsa dari pelbagai negara. Inisiatif ini memperkaya mural-mural sedia ada di Kampung Peros dengan sentuhan warna dan naratif baharu, sambil mencipta ruang interaksi budaya yang mendalam antara komuniti, pelajar dan artis luar.
Satu lagi inisiatif penting ialah Projek Ko-kreasi Seni: keDIAMan, yang berlangsung pada 13 dan 14 Jun 2025. Projek ini mengetengahkan pendekatan seni untuk kesejahteraan diri, ketenangan dan refleksi, dan melibatkan 30 orang belia kampung berusia antara 11 hingga 24 tahun. Menggunakan teknik cetakan Tetra Pak anjuran iCREATE bersama pensyarah, pelajar FSGK dan artis jemputan.
Ketiga-tiga inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh keterampilan komuniti dalam seni, penceritaan, dan promosi digital, tetapi juga menjadikan Kampung Peros sebagai tapak pembelajaran transdisiplin yang mempertemukan komuniti, universiti dan pengamal seni dalam ruang yang inklusif dan lestari.















Kampung Peros Diiktiraf Sebagai Rakan Geopark dan Kampung Geopark
Hasil daripada keberkesanan pelbagai inisiatif ini, Kampung Peros telah diiktiraf secara rasmi sebagai rakan geopark dan Kampung Geopark di bawah Sarawak Delta Geopark. Pengiktirafan ini meletakkan kampung ini sebagai salah satu komuniti perintis yang bersedia menyumbang kepada pemuliharaan dan pembangunan pelancongan lestari melalui pendekatan pendidikan dan seni.
Manfaat Menyeluruh kepada Pelajar, Pensyarah dan Universiti
Bagi pelajar UNIMAS, penglibatan dalam projek SULAM ini memberi peluang pembelajaran dunia sebenar yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Mereka dapat mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam reka bentuk, dokumentari, dan seni visual sambil membina kecekapan insaniah seperti empati budaya, komunikasi antara personal, dan kerja berpasukan.
Pensyarah pula berpeluang menerapkan pedagogi berimpak tinggi dan melibatkan diri dalam projek yang memberi impak terus kepada komuniti. Sementara itu, UNIMAS secara keseluruhannya memperkukuh reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi yang berperanan aktif dalam pembangunan komuniti dan pelestarian warisan melalui kolaborasi rentas sektor.
Disediakan oleh Noorhaslina Binti Senin (Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS)