June 25, 2025

KOTA SAMARAHAN, 23 Jun 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus unggul dalam memacu kecemerlangan pembangunan kerjaya graduan apabila tampil menyerlah dalam Talent Recruitment and Career Expo (TRACE) 2025 yang berlangsung meriah pada 17 dan 18 Jun lalu di DeTAR Putra, UNIMAS.

FSKTMjuga giat mempromosikan acara ini dan menunjukkan kepimpinan proaktif melalui kolaborasi bersama PERTEKMA (Persatuan Teknologi Maklumat) dalam penganjuran episod khas The Open Case Podcast (Case 4): TRACE ON! – Where Talent Meets Opportunity.

Podcast ini membuka ruang perbincangan mengenai kesiapsiagaan graduan ICT menghadapi dunia pekerjaan digital yang kian mencabar.

Antara pencapaian paling membanggakan adalah kejayaan FSKTM dinobatkan sebagai penerima 2024 Graduate Employability Enhancement Award, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen fakulti dalam memperkasa kebolehpasaran graduan melalui pelbagai inisiatif inovatif dan strategik.

Anugerah ini membuktikan keberkesanan pendekatan FSKTM dalam menjalin hubungan erat dengan industri serta memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai keperluan sebenar pasaran kerja.

TRACE 2025 menyaksikan lebih 8,500 pengunjung hadir termasuk pelajar UNIMAS, pelajar sekolah dan komuniti luar, dengan lebih 798 kekosongan jawatan serta 134 peluang latihan industri ditawarkan oleh syarikat terkemuka tempatan dan antarabangsa.

FSKTM turut terlibat aktif dalam Graduate Professional Programme pada 10 dan 11 Jun, khususnya sesi yang melibatkan perkongsian oleh profesional industri dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Dengan gabungan kejayaan akademik, penglibatan aktif industri dan kreativiti pelajar, FSKTM terus membuktikan peranannya sebagai peneraju pembangunan modal insan digital yang cemerlang dan berdaya saing.

#mypdti