Tingkat Kesedaran Kesihatan Keluarga: Fokus Kesihatan Buah Pinggang dan Gaya Hidup Sihat

KOTA SAMARAHAN: Program Doktor Muda Dalam Komuniti dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UNIMAS telah menganjurkan Hari Kesihatan Keluarga yang disertai oleh 52 ahli keluarga angkat dari Kampung Tasik Biru dan Kampung Batu Spit, Daerah Bau, bertempat di Fakulti Perubatan dan Sain Kesihatan dan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) UNIMAS.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr Asri bin Said berkata, selaras dengan tagline UNIMAS sebagai “Community Driven University for A Sustainable World”, Doktor Muda bersama 12 orang pensyarah telah membuat lawatan berkala ke rumah keluarga angkat di Daerah Bau untuk Pemeriksaan Kesihatan, Pendidikan Kesihatan Anti-Rabies dan Khidmat Nasihat Kesihatan sejak Mei 2024 hingga 21 Jun 2025.
“Aktiviti-aktiviti Doktor Muda Dalam Komuniti seumpama ini memberi peluang kepada pelajar perubatan Tahun 1 dan Tahun 2 merasai sendiri pengalaman awal sebagai “Doktor Muda” dan seterusnya membantu mereka memperkasakan kemahiran klinikal, komunikasi, dan empati terhadap masyarakat”.
Pada hari Majlis Apresiasi (Penghargaan), Doktor-doktor Muda telah membawa keluarga angkat masing-masing untuk melawat Muzium Anatomi dan Pameran Berhenti Merokok. Aktiviti lain merangkumi analisis urine (air kencing) bagi menilai kesihatan buah pinggang dan tanda awal penyakit kronik, serta penilaian tahap ketagihan nikotin bagi membantu perokok memulakan langkah berhenti merokok. Selain itu, keluarga angkat yang hadir turut menjalani pemeriksaan berat badan, ujian glukosa darah, serta pemeriksaan tekanan darah untuk mengenal pasti risiko hipertensi.
Koordinator kursus dan penasihat projek, Dr Rosalia Saimon berkata, Doktor Muda berperanan untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti serta mendidik orang ramai mengenai langkah-langkah pencegahan awal penyakit.
“Kami mahu ahli keluarga dan masyarakat lebih peka terhadap kesihatan diri. Ramai ahli keluarga tidak sedar mereka berisiko tinggi mengalami pelbagai penyakit kronik. Langkah pencegahan perlu bermula dengan kesedaran,” ujar beliau.
Seorang peserta berkata, “Saya tak pernah buat pemeriksaan air kencing sebelum ini. Hari ini baru saya tahu ada tanda awal masalah buah pinggang. Nasib baik saya datang,” katanya.
Program ini mencerminkan dedikasi dan komitmen pelajar perubatan UNIMAS untuk membantu keluarga dan komuniti untuk menjadi lebih sihat.
Majllis penutupan dihadiri oleh Profesor Dr Helmy Hazmi (mewakili dekan), Profesor Madya Dr Deburra Peak Ngadan (mewakili Ketua Jabatan Perubatan Komuniti,dan Kesihatan Awam), Pn Faridah Mohamed (Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Penasihat Projek), Penyelia-penyelia Lapangan, Juruteknologi makmal fakulti, Encik Joryim ak Nyayop (Penghulu Zon Krokong dan Tringgus), Encik Ajit ak Francis (Ketua Kaum Kampung Tasik Biru), Encik Korin anak Ajib.(Ketua Kaum Kampung Batu Spit), Saudari Asphela Jicue Anak Quat (Ketua Projek Doktor Muda) dan keluarga-keluarga angkat dari Kampung Tasik Biru dan Kampung Batu Spit.


