
Disediakan oleh Puan Siti Haslina Binti Hussin (Pensyarah, FPBK)
KUCHING, 18 Jun 2025 – Pendidikan perlu kembali kepada asas yang lebih holistik dan berteraskan nilai sejagat yang memanusiakan manusia, demikian tegas Profesor EmeritusTan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak ketika menyampaikan Syarahan Umum Profesor Adjung sempena Hari Kesedaran CIRCULAR di Teater Multimedia, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa konsep SEJAHTERA bukan sekadar slogan atau tema hiasan, tetapi merupakan kerangka nilai dan falsafah pendidikan yang menyeluruh. Ia berteraskan pertanggungjawaban, amanah serta keseimbangan antara aspek jasmani, rohani dan intelek dalam membentuk insan seimbang.
“SEJAHTERA adalah pendekatan hidup dan pendidikan yang menekankan keharmonian antara manusia, alam dan pencipta. Ia bersifat menyeluruh, bersepadu dan berterusan,” ujar beliau.

Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifli turut menggariskan sepuluh elemen utama dalam kerangka SEJAHTERA, iaitu spiritual, intellectual, physio-psychological, emotional, cognitive, cultural, ethical, ecological, eco-nomic dan societal. Keseimbangan antara kesemua elemen ini diyakini mampu melahirkan insan harmoni yang mengenali diri sebagai spiritual natives yakni individu yang hidup berpaksi kepada roh dan fitrah dan bukan sekadar digital natives yang tandus nilai dan jiwa.

Menyentuh tentang evolusi sistem pendidikan, beliau mengkritik warisan pendidikan abad ke-20 yang terlalu menekankan aspek 3M iaitu Manpower, Mindset dan Machine. Sebaliknya, beliau mencadangkan pendekatan baharu berteraskan 3H iaiti Humanity, Heartset dan High Touch sebagai teras pendidikan abad ke-21.
“Pendidikan hari ini terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik sehingga mengabaikan nilai, etika dan kesejahteraan jiwa. Kita perlukan pendidikan yang disulami simpati, empati dan ehsan,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru kepada anjakan paradigma daripada Artificial Intelligence kepada Authentic Intelligence iaitu pendekatan pendidikan yang menghubungkan jiwa dan akal untuk melahirkan insan berjiwa sejahtera.
“Kita mesti beralih daripada pendidikan untuk pekerjaan kepada pendidikan untuk kehidupan,” tegas beliau sambil menekankan peranan pendidikan sebagai alat pemerkasaan insan dan pembinaan masyarakat yang harmoni.
Dalam syarahan yang turut disertai pelajar dan pensyarah dari Program Pengajian Islam, beliau mengajak bakal pendidik agar menjadi agen perubahan yang menghidupkan kembali semangat pendidikan berasaskan nilai dan kesejahteraan sejagat, bukan sekadar memenuhi tuntutan pasaran.
Program ini dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS sempena Hari Kesedaran CIRCULAR, dengan sokongan daripada Kesatuan Eropah (European Union) dan inisiatif CIRCULAR sebagai sebahagian usaha memperkukuh wacana pendidikan lestari dan berteraskan nilai insani.


