
20 Jun 2025 – Kolokium Kaunseling Sarawak ke-5 (SCC2025) dengan tema “Counselling Builds Resilience in the Community” sekali lagi diadakan pada tahun ini dengan mesej utama yang menyentuh jiwa: resilien komuniti, hubungan kemanusiaan, dan aplikasi kaunseling. SCC2025 dianjurkan oleh pelajar Tahun 3 Program Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Amalia Madihie. SCC2025 merupakan satu platform penting dalam bidang kaunseling untuk membincangkan serta mempamerkan intervensi resilien yang boleh diaplikasikan secara berimpak tinggi dalam masyarakat. Majlis pelancaran Kolokium Kaunseling Sarawak ke-5 telah disempurnakan oleh wakil Dekan, iaitu Profesor Madya Dr. Nor Mazlina Ghazali, Timbalan Dekan (Prasiswazah) FSKPM.

Tema SCC2025 pada tahun ini, “Counselling Builds Resilience in the Community”, mencerminkan harapan untuk membina sebuah dunia yang lebih empati dan resilien. Dengan tema ini, harapan kami adalah untuk mengintegrasikan serta menggabungkan kerjasama antara universiti, masyarakat dan industri. Gabungan kerjasama dalam SCC2025 ini juga selari dengan tagline UNIMAS iaitu “Community Driven University for a Sustainable Global”.

Antara fokus utama kolokium ini ialah pengenalan kepada konsep Human Resilience Library (HRL), iaitu satu inisiatif kreatif dan berjiwa di mana manusia, khususnya kaunselor, berperanan sebagai ‘living books’ yang berkongsi kisah, bimbingan dan semangat kepada komuniti. Dalam masa yang sama, kaunselor serta kaunselor pelatih turut menerapkan intervensi resilien dalam proses menolong di peringkat komuniti. Pendekatan ini memberi peluang untuk membina daya tindak (resilien), bukan hanya di dalam bilik kaunseling, tetapi juga melalui perbualan terbuka dan pengalaman bersama yang menyentuh hati dalam kalangan masyarakat. Human Resilience Library ini diharapkan dapat menjadi satu inisiatif sokongan barisan hadapan dalam komuniti sebelum mereka menerima atau mendapatkan perkhidmatan profesional kaunseling.

Konsep Human Resilience Library (HRL) telah diperkenalkan oleh Profesor Madya Dr. Amalia Madihie bersama rakan-rakan penyelidik beliau. Berdasarkan hasil kajian dan inovasi dalam bidang resilien yang telah dijalankan, satu pendekatan baharu dalam bidang kaunseling telah dibangunkan dan dikongsi bersama masyarakat. Konsep ini telah dilaksanakan bersama tiga buah kampung, iaitu Kampung Baru Samarahan, Kampung Tambirat, dan Kampung Matang Batu, serta sebuah NGO iaitu The Federation of Chinese Associations, Kuching, Samarahan, dan Serian Division. Selain itu, perkongsian turut diperluaskan kepada pelajar Pra-Universiti UNIMAS dan di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) sendiri bersama 63 orang pelajar kaunseling.

Program ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Program KPT Inspirasi Fokus 3: Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2025 (HTPT 2025) – Sejahtera MADANI. Selain itu, inisiatif ini turut menyokong agenda ‘1 IPT : 1 Daerah’ yang menekankan peranan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan komuniti setempat, selaras dengan inisiatif UniversCities UNIMAS. Melalui penglibatan secara langsung dengan masyarakat kampung, para pelajar bukan sahaja dapat melatih kemahiran kaunseling secara praktikal, malah berpeluang menghayati peranan mereka sebagai agen perubahan sosial. Inisiatif ini turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being, SDG 4: Quality Education, dan SDG 17: Partnership for the Goals. Secara tidak langsung, program ini memperkukuhkan jaringan kolaborasi antara akademia, industri dan masyarakat, sekali gus menyokong usaha ke arah membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mampan.

SCC2025 yang berlangsung pada 20 Jun 2025 berfungsi sebagai platform refleksi dan perkongsian hasil pelaksanaan program komuniti oleh para pelajar. Sepanjang program ini, para pelajar membentangkan dapatan, cabaran, dan pencapaian mereka, di samping mendalami nilai-nilai utama dalam pembangunan komuniti serta ketahanan psikososial. Turut hadir dalam kolokium ini ialah wakil komuniti dari setiap kampung terlibat, para pensyarah kaunseling, serta tetamu jemputan daripada sektor kaunseling. Kehadiran pelbagai pihak ini menjadikan program ini sebagai jambatan ilmu yang menghubungkan dunia akademik dengan realiti lapangan sebenar.

Profesor Madya Dr. Amalia Madihie, selaku pembimbing akademik utama, menekankan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam komuniti bukan sahaja meningkatkan kemahiran profesional, malah membentuk nilai empati serta kepekaan sosial yang tinggi. Beliau menyifatkan program ini sebagai satu manifestasi sebenar kepada prinsip pendidikan transformatif yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman nyata dan tanggungjawab sosial.

Program ini mencerminkan pendekatan pendidikan kaunseling yang progresif dan berakar pada realiti tempatan. Ia membuka ruang kepada para pelajar untuk menghayati erti sebenar khidmat masyarakat serta peranan seorang kaunselor dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Dengan sokongan komuniti yang padu dan bimbingan akademik yang kukuh, SCC2025 sekali lagi melakar satu penanda aras baharu dalam pembangunan pendidikan kaunseling di peringkat universiti.
