
Delegasi MalDec bergambar di perkarangan Canselori UNIMAS.
Disediakan oleh: Dr Dilah Tuah (Dekan, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi)
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Permukiman Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam (MalDec) 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mei 2025. Program selama tiga hari ini menghimpunkan para Dekan dan wakil fakulti bahasa dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh sinergi akademik, memartabatkan warisan budaya serta menanam kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Ketibaan delegasi MalDec di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Delegasi MalDec tiba pada 17 Mei dan disambut mesra oleh para petugas Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Pada keesokan harinya, program diteruskan dengan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Matang Wildlife Centre, sebuah pusat pemuliharaan penting yang terletak di bahagian barat Taman Negara Kubah. Pusat ini berperanan mendidik dan memulihara spesies terancam seperti orang utan yang hanya dapat ditemui di Borneo dan Sumatera.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MalDec di Matang Wildlife Centre.
Di sana, delegasi MalDec diberi taklimat menyeluruh mengenai usaha pemulihan haiwan serta berpeluang menyaksikan secara langsung persekitaran semula jadi yang menyokong pembelajaran dan persiapan haiwan untuk kembali ke habitat liar. Program ini memberi impak mendalam kepada para peserta dalam memahami peranan institusi dalam menyokong agenda pemeliharaan biodiversiti.

Delegasi MalDec bersama petugas di Matang Wildlife Centre.
Setelah selesai aktiviti di Matang, delegasi dibawa ke pusat bandaraya Kuching untuk mengunjungi premis jualan Kek Lapis Sarawak, salah satu simbol warisan kulinari masyarakat tempatan yang terkenal dengan corak berlapis dan keunikan rasanya. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk mengenali lebih dekat proses penghasilan kek lapis melalui penerangan daripada pengusaha tempatan, di samping menikmati dan membeli produk tersebut sebagai cenderamata. Delegasi turut berkunjung ke Mita Cake House untuk mendapatkan Butter Cake yang menjadi pilihan ramai, sebelum menikmati pencuci mulut tradisional yang semakin digemari iaitu ais krim gula apong.

Kunjungan di Kek Lapis Warisan
Pada malam hari, delegasi diraikan dalam satu majlis makan malam bertemakan makanan citarasa Sarawak yang diadakan di sebuah restoran terkenal di pusat bandar Kuching. Majlis ini menampilkan pelbagai hidangan istimewa yang mencerminkan keunikan rasa dan kekayaan bahan tempatan, termasuk juadah berasaskan hasil rimba, hasil laut segar dan olahan moden masakan etnik. Selain menjamu selera, majlis ini turut menjadi ruang interaksi santai yang mempereratkan hubungan dan membina suasana yang lebih akrab dalam kalangan peserta.

Jamuan makan malam sebagai tanda penghargaan kepada delegasi MalDec.
Kemuncak program berlangsung pada 19 Mei dengan Mesyuarat Rasmi MalDec yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Rumah Universiti UNIMAS. Mesyuarat ini disempurnakan oleh Professor Ir. Dr Siti Noor Linda Taib, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, yang mewakili YBhg Naib Canselor UNIMAS. Antara agenda yang dibincangkan termasuk penetapan hala tuju pengajian bahasa, kerjasama penyelidikan antara institusi, dan peluasan program mobiliti pelajar dalam kalangan universiti awam.

Prof. Ir. Dr Siti Noor Linda Taib menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi MalDec.
Sebelah petangnya, delegasi MalDec menghadiri Wacana Bahasa Warisan anjuran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Wacana ini mengetengahkan perbincangan ilmiah mengenai pelestarian bahasa tempatan serta peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh identiti linguistik kebangsaan.

Gambar kenangan bersama panel dan peserta Wacana Bahasa Warisan.
Empat panel telah berkongsi pandangan dan hasil kajian mereka yang mencerminkan kepelbagaian dan keunikan bahasa warisan di pelbagai komuniti. Panel pertama menampilkan Dr. Dilah bin Tuah, Dekan FPBK UNIMAS, yang membicarakan pelbagai bahasa warisan di Sarawak serta isu-isu yang melingkari kelangsungannya. Panel kedua pula oleh Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, yang membentangkan mengenai bahasa Semai, salah satu bahasa Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi MalDec menyampaikan cenderamata kepada Pengarah DBP Sarawak.
Turut serta ialah Profesor Dr. Ismail Ali, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, yang memperincikan usaha pemeliharaan bahasa Kadazandusun, manakala Dr. Remmy Gedat, Timbalan Dekan FPBK UNIMAS, mengetengahkan isu serta inisiatif berkaitan bahasa Iban, salah satu bahasa utama di Sarawak. Wacana turut diserikan dengan kehadiran Dr. Azizul bin Haji Ismail, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, yang menyampaikan ucapan penutupan. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan komitmen DBP untuk terus menyokong program sebegini demi kesinambungan bahasa dan budaya warisan negara.

“UNIMASku Sayang” – kenangan indah yang terpahat sepanjang permukiman di bumi Kenyalang.
Permukiman ini bukan sekadar satu siri pertemuan rasmi, malah turut membuka ruang kepada interaksi budaya, pengalaman lapangan yang bermakna serta peluang kerjasama baharu dalam mendukung agenda akademik negara. Delegasi MalDec turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UNIMAS atas penganjuran yang tersusun, berimpak tinggi dan penuh nilai tambah kepada landskap pendidikan tinggi Malaysia.