Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (JKEE) dengan kerjasama Institut Sistem Tenaga Boleh Diperbaharui (ISuRE) telah menganjurkan satu Program CSR Ramadhan: Menyantuni Saudara Muallaf di Kampung Lunying, Sebuyau. Program ini bertujuan untuk menyantuni dan memberikan sokongan moral serta bantuan keperluan asas kepada saudara-saudara baharu dalam Islam yang menetap di kawasan tersebut.
Program yang berlangsung pada 14hb Mac 2025 menyaksikan penglibatan aktif para pensyarah dan staf, dalam menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, serta keperluan ibadah seperti sejadah dan Al-Quran.


Kampung Lunying, yang terletak di kawasan pedalaman Sebuyau, merupakan sebuah komuniti yang dihuni oleh penduduk pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang baru memeluk agama Islam. Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi material tetapi juga mengukuhkan ukhuwah antara pihak penganjur dengan masyarakat setempat. Kehadiran dan interaksi secara langsung dengan komuniti ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus menyokong saudara-saudara muallaf dalam perjalanan mereka mendalami agama Islam.

Program CSR Ramadhan ini bukan sekadar penyampaian sumbangan, tetapi juga satu platform bagi memupuk kasih sayang, kefahaman, dan perpaduan dalam masyarakat. Semoga inisiatif ini dapat terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada semua untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya dalam bulan yang mulia ini.

Prepared by Nurul ‘Izzati binti Hashim