Program Majlis Penyerahan Sulam Mekanikal merupakan salah satu inisiatif yang melibatkan para pelajar Tahun 1 Kejuruteraan Mekanikal UNIMAS melalui kursus KNP1091. Program ini telah dijalankan pada15 Jan 2025 bertempat di Ruang Serbaguna, Fakulti Kejuruteraan. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan hasil kerja kumpulan pelajar, memperkukuh hubungan dengan komuniti, serta memupuk semangat inovasi dalam penyelesaian masalah kejuruteraan melalui platform Service Learning Malaysia (SULAM). Majlis ini merupakan hasil kerjasama antara KRT Taman Samarindah, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Pusat Kelestarian UNIMAS.
Sebanyak 4 kumpulan pelajar yang terdiri daripada 98 pelajar Tahun 1 Mekanikal telah memperlihatkan hasil 4 produk perabot iaitu Kerusi Empire, Rostrum, Tangga dan Bench. Produk-produk ini dihasilkan sebagai sebahagian daripada tugasan projek kursus, dengan fokus kepada aplikasi praktikal ilmu kejuruteraan mekanikal. Majlis ini telah dihadiri oleh jemputan kehormat yang terdiri daripada:
- Yang Dihormati Tuan Mohamad Aizzam Shah Bin Mohamad Busman, Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Samarahan
- Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Norazzlina M. Sa’don, Dekan Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS
- Yang Berbahagia Dr Ahmad Syafiq Ahmad Nasir,Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian UNIMAS
- Yang Berusaha Ts. Mohd Azrin Mohd Said, Penyelaras Kursus KNP1091
- Yang Dihormati Haji Khancil Andong, Pengerusi KRT Taman Samarindah
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengacara majlis dan diikuti oleh ucapan rasmi oleh Penyelaras Kursus KNP1091, Ts Mohd Azrin Mohd Said, Ucapan Pengerusi KRT Taman Samarindah, Haji Kanchil Andong dan Ucapan Rasmi oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Norazzlina M. Sa’don, Dekan Fakulti Kejuruteraan.
Setiap produk yang dihasilkan dinilai oleh Wakil KRT Taman Samarindah. Produk yang dihasilkan adalah hasil perbincangan bersama komuniti setempat.
Majlis diteruskan dengan penyerahan simbolik hasil projek kepada komuniti setempat yang diwakili oleh Pengerusi KRT Taman Samarindah, Haji Khancil Andong serta Sumbangan hamper daripada KRT kepada Pelajar. Penyampaian Cendermata kepada KRT Taman Samarindah pula disempurnakan oleh Dekan Fakulti.
Program diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan untuk meraikan kejayaan para pelajar dan mengeratkan hubungan dengan jemputan serta komuniti. Majlis ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan dan memperlihatkan usaha pelajar dalam menyumbang kepada komuniti. Sokongan berterusan daripada fakulti dan pihak komuniti amat dihargai dalam memastikan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Disediakan oleh: Ts. Mohd Azrin bin Mohd Said, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS