![](https://gazette.unimas.my/wp-content/uploads/2025/02/Kg.-Assum-1-3-1024x768.jpeg)
![](https://gazette.unimas.my/wp-content/uploads/2025/02/Kg.-Assum-2-1-1024x768.jpeg)
![](https://gazette.unimas.my/wp-content/uploads/2025/02/Kg.-Assum-3-1-1024x768.jpeg)
![](https://gazette.unimas.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-01-16-at-2.15.31-PM-2-1-1024x768.jpeg)
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Kelestarian Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak telah menjalankan projek komuniti di Kampung Assum, Lundu, Sarawak. Projek ini merupakan salah satu inisiatif SULAM Kejuruteraan Kimia yang diselia oleh Pusat Kelestarian Universiti, Universiti Malaysia Sarawak. Tujuan utama projek ini adalah untuk membantu komuniti setempat dalam menguruskan sisa organik secara lestari melalui penggunaan komposter yang direka khas oleh pelajar. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan sisa buangan domestik dan menggalakkan amalan kitar semula sisa organik menjadi baja kompos.
Projek ini dijalankan di bawah kursus KNC1041 Amalan Bengkel yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tahun 1 Kejuruteraan Kimia. Projek ini diketuai oleh Penyelaras Kursus Amalan Bengkel, Dr. Lennevey Kinidi dan dibantu oleh Mohamed Afizal Bin Mohamed Amindan dan Mohd Farid Atan serta staf-staf teknikal yang terdiri daripada Mohd Hafiz Mafadi, Kamri Mohamed, Mohammad Amirul Nizam Amit, dan Mohamad Tajudin Unus.
Antara produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar Tahun 1 adalah dua unit komposter. Komposter ini direka agar mudah digunakan oleh komuniti Kampung Assum dalam mengolah sisa organik rumah tangga menjadi baja kompos yang boleh dimanfaatkan untuk pertanian dan landskap kampung. Semua produk ini dihasilkan dalam masa dua bulan dan telah diserahkan secara rasmi kepada Ketua Kampung Assum, Encik Siang Anak Sayod.
Pihak jabatan dan juga universiti berharap agar projek ini dapat memberi impak positif kepada komuniti Kampung Assum dalam usaha mengurangkan sisa buangan dan menggalakkan amalan pertanian lestari. Diharapkan juga agar penggunaan komposter ini dapat menjadi contoh bagi komuniti lain dalam menguruskan sisa organik secara mesra alam.