Oleh: Nurul Annisaa Binti Hairee & Dr Vimala Govindaraju
Kota Samarahan, 18 Disember 2024 – Pelajar Tahun Akhir program Komunikasi Strategik dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) telah menjalankan aktiviti pameran di lobi fakulti, FPBK.
Pameran ini berkenaan dengan Kempen ‘EarthSOS: Our Planet Our Future’ yang dianjurkan oleh Pelajar Tahun 4 Program Komunikasi Strategik untuk kursus PBK4204 Kempen Strategik dan Pengurusan Acara. Objektif utama pameran ini dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai termasuklah para pelajar agar lebih cakna dan mengetahui bahawa bahan buangan layak diberikan peluang kedua untuk menjadi satu produk yang boleh diguna pakai.
Seramai 22 orang pelajar tahun akhir yang diketuai oleh Alifah Zulaikha telah berusaha dalam menjayakan program pameran ini agar berjalan dengan lancar. Pameran ini mula menerima pengunjung bermula pada pukul 8:30 pagi sehingga jam 2:00 petang. Terdapat lima pameran yang telah disediakan oleh para pelajar. Antaranya ialah pameran info, pameran barangan DIY, pameran kotak pengumpulan barang kitar semula, pameran permainan dan pameran bergambar. Kesemua pameran harus disediakan menggunakan barangan terpakai seperti kayu, kotak, kain, botol, kertas dan lain-lain.
Menurut Jacky Chai Zhen Wui, 23, pameran ini membantu dalam memberikan kesedaran kepada pengunjung dan beliau amat menikmati segala proses dalam menjayakan kempen ini.
“Ia merupakan suatu pengalaman yang indah semasa penyediaan dan saya amat menikmatinya. Pameran ini bagi saya akan membantu pengunjung memahami berkenaan mesej sebenar yang ingin kami sampaikan agar mereka dapat melaksanakan gaya hidup lestari dalam kehidupan.”
Setiap aktiviti yang dijalankan sudah semestinya akan ada cabaran yang mendatang. Seperti yang dihadapi oleh Pavitraa A/P Sundaram, 23, beliau menyatakan secara ringkas cabaran utama yang dihadapi adalah melalui kewangan kerana kekurangan dana amat memberi dampak yang besar dalam menjayakan sesuatu aktiviti. Oleh itu, mereka hadir dengan beberapa solusi antaranya dengan menggunakan barangan terpakai memandangkan kempen mereka juga selaras dengan tema 5R.
“Memandangkan kami menumpukan pada perkara kitar semula, kami memilih untuk mencari barang kitar semula bagi keperluan pameran kami dalam menampung dan mengatasi isu belanjawan. Walaupun ia sukar, kami menganggapnya sebagai satu cabaran kerana hasil titik peluh kami boleh dilihat melalui kejayaan pada hari ini dan ia benar-benar berbaloi,” ujar Pavitraa.
Program tersebut turut menyaksikan kehadiran ramai pengunjung yang bukan sahaja dalam kalangan pelajar UNIMAS bahkan murid-murid dan guru dari Sekolah Kebangsaan Batang Igan yang turut hadir memeriahkan aktiviti.